Datuk Suhaili Abdul Rahman
Datuk Suhaili Abdul Rahman
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengiktirafan Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) sebagai ahli gabungan Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) bukanlah dibuat secara melulu kerana turut mendapat 'restu' daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menerusi surat yang ditujukan kepada Presiden MSC, Datuk Suhaili Abdul Rahman bertarikh 28 Februari lalu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memaklumkan KBS tiada halangan untuk MSC memohon bagi menjadi ahli gabungan kepada badan sukan antarabangsa supaya kesinambungan sukan sepak takraw Malaysia di peringkat antarabangsa terus relevan.

"KBS amat mengambil berat mengenai pembangunan sukan sepak takraw khususnya pembabitan Malaysia di peringkat antarabangsa.

"Sebarang usaha bagi memastikan kecemerlangan dan kelangsungan sukan sepak takraw di peringkat tertinggi memerlukan representasi dengan tadbir urus berintegriti dan profesional," kata Ahmad Faizal dalam surat berkenaan.

Sementara itu, Presiden Astaf Datuk Abdul Halim Kader dalam kenyataannya memaklumkan bahawa antara faktor permohonan MSC untuk menjadi ahli gabungan diluluskan adalah disebabkan surat sokongan yang diterima badan induk itu daripada KBS dan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS).

"Astaf juga ingin tekankan yang MSC turut mengemukakan surat sokongan daripada pihak berkuasa sukan di Malaysia iaitu KBS dan PPS. Surat-surat ini mengukuhkan lagi permohonan MSC seperti mana yang dibincangkan oleh Jawatankuasa Eksekutif Astaf," katanya.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan bahawa Astaf menerima permohonan MSC menjadi ahli gabungan badan induk itu berkuatkuasa, Sabtu lalu.

Pengiktirafan itu diberikan menerusi akuan ditandatangani oleh Abdul Halim dan Setiausaha Agung Astaf, Boonchai Lorhpipat.

Susulan keputusan itu, Astaf menolak permohonan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk kembali menjadi ahli gabungan badan induk berkenaan.

Pada 20 Mei tahun lalu, Jawatankuasa Disiplin Astaf menyingkirkan PSM sebagai ahli gabungan selepas didapati bersalah susulan tindakan Presiden PSM ketika itu, Datuk Seri Ahmad Ismail di atas kapisiti Timbalan Presiden Astaf menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada Februari.

Tindakan itu melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dan Astaf seperti dimeterai 14 Mac 2008.

Berikutan kemelut yang melanda PSM, enam bekas ahli gabungan badan induk itu memutuskan untuk menubuhkan entiti baharu dikenali sebagai MSC dan mendapat kelulusan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS), bulan lalu.

Enam ahli gabungan yang menjadi tonggak penubuhan MSC iaitu Persatuan Sepak Takraw Selangor; Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya; Persatuan Sepak Takraw Sarawak; Persatuan Sepak Takraw Perlis; Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah dan Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Labuan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 5:05 PM