KETUA jurulatih NSFC, Azzmi Ab Aziz. FOTO Ihsan NSFC.
KETUA jurulatih NSFC, Azzmi Ab Aziz. FOTO Ihsan NSFC.
Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) merancang untuk mengadakan tiga aksi persahabatan terakhir menjelang perlawanan pertama Liga Super musim ini menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di tempat lawan pada 18 Mei ini.

Ketua jurulatih, Azzmi Ab Aziz berkata, perlawanan itu akan pertemuan dengan Kelab Bola Sepak Universiti Malaysia (Liga A1) di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, petang esok.

Menurutnya, ia akan disusuli dengan aksi persahabatan berikutnya menentang Tanjong Pagar United dari Singapura pada 7 Mei dan dengan sebuah kelab tempatan pada 11 Mei.

"Berikutan kita hanya akan memulakan aksi Liga Super musim ini bertemu JDT pada 18 Mei, jadi kita rancang adakan satu aksi persahabatan pada 11 Mei dengan sebuah kelab tempatan yang akan ditentukan kemudian.

"Saya berharap melalui ketiga-tiga aksi persahabatan ini nanti akan dapat membantu memantapkan lagi persiapan pasukan terutama dari segi persefahaman dan keserasian antara pemain sebelum kita menghadapi perlawanan pertama Liga Super," katanya.

Pengendali berusia 49 tahun itu yang melahirkan rasa puas hati dengan komitmen tinggi dipamerkan pemain skuad Hobin Jang Hobin sepanjang persiapan latihan setakat ini, mahu anak buahnya terus berusaha meningkatkan lagi tahap prestasi.

Beliau yang mengambil alih jawatan berkenaan daripada K Devan yang tamat kontrak, yakin prestasi dan kekuatan pasukan itu akan dapat ditingkatkan sebelum berhadapan dengan JDT pada aksi pembukaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 1:31 PM