PERENANG Amerika Syarikat yang juga juara Olimpik, Caeleb Dressel. FOTO REUTERS
PERENANG Amerika Syarikat yang juga juara Olimpik, Caeleb Dressel. FOTO REUTERS
AFP

Budapest: Pemenang tujuh pingat emas di temasya Olimpik, Caeleb Dressel menarik diri daripada baki Kejohanan Renang Dunia, hari ini, dengan alasan perubatan.

Dressel, 25, menarik diri daripada acara 100 meter (m) gaya bebas, semalam, selepas muncul perenang kedua terpantas di peringkat saringan sebelum mengumumkan menarik diri daripada baki kejohanan, hari ini.

"Dia menarik diri kerana alasan perubatan. Bagi kesihatan jangka panjang beliau, ini keputusan tepat dibuat pada hari ini," kata Pengarah Urusan Renang bagi pasukan Amerika Syarikat (AS), Lindsay Mintenko kepada media.

"Dia tidak akan bertanding buat masa ini."

Menurutnya, berikutan alasan perundangan, dia tidak boleh memberikan penjelasan lanjut mengenai masalah itu.

"Sudah tentu, ini adalah keputusan Caeleb," katanya.

Dressel menang lima pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan sudah memenangi dua emas di Budapest bagi acara 50m kuak kupu-kupu dan 100m gaya bebas berganti ganti.

Dia sepatutnya beraksi dalam acara campuran rampaian berganti-ganti, semalam, tetapi tidak bertanding. Di Tokyo 2020, kuartet itu menduduki tempat kelima dengan Dressel berenang bagi kuak kupu-kupu dan kali ini, mereka memenangi emas.

"Kami perlu membuat keputusan dengan cepat. Dia memiliki banyak lagi kejohanan selepas ini," kata Lindsay.

"Kami terpaksa membuat keputusan sukar sejam sebelum acara berganti-ganti itu sebelum rakan sepasukannya memenangi pingat emas.

"Keputusan pantas perlu dibuat membabit Caeleb, pasukan perubatan dan jurulatih. Ia keputusan tepat untuk kesihatannya pada jangka masa panjang dan sudah tentu, itulah sebab kami berada di sini."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2022 @ 8:39 AM