REAKSI perenang Amerika Syarikat, Hunter Armstrong selepas mencipta rekod dunia acara 50m kuak lentang. FOTO AFP
REAKSI perenang Amerika Syarikat, Hunter Armstrong selepas mencipta rekod dunia acara 50m kuak lentang. FOTO AFP
AFP

Washington: Hunter Armstrong mencatat rekod dunia acara 50 meter (m) kuak lentang dengan masa 23.71 saat untuk layak ke Kejuaraan Renang Dunia 2022, ketika pemilihan Amerika Syarikat (AS) di Greensboro, North Carolina, semalam.

Armstrong, 21, memecahkan rekod dunia 23.80s dicatatkan perenang Rusia, Kliment Kolesnikov di Kejuaraan Eropah di Budapest pada 18 Mei 2021.

"Secara jujurnya, saya memang hilang kata-kata," kata Armstrong selepas merebut tempat ke Kejuaraan Dunia dalam acara tiudak dipertandingkan di Sukan Olimpik itu.

"Ia adalah sesuatu yang menjadi idaman saya dan kini saya seolah-olah berada di bulan."

Pemenang pingat emas Olimpik sebanyak tujuh kali, Caeleb Dressel mengesahkan tempat ke Kejuaraan Dunia buat kali ketiga selepas memenangi acara 100m kuak kupu-kupu.

Dressel, yang mencipta rekod dunia 49.45s ketika menang pingat emas di temasya Olimpik Tokyo 2020, tahun lalu, mencatatkan 50.01s ketika saringan sebelum merekodkan 50.20s di final.

Michael Andrew di tempat kedua dengan catatan 50.88s dan turut layak ke Kejuaraan Dunia di Budapest pada 18 Jun hingga 3 Julai depan.

Dressel yang menang lima emas di Tokyo 2020 yang ditangguhkan kerana Covid-19, turut layak ke Budapest bagi acara 100m gaya bebas dan 50m kuak kupu-kupu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 9:00 AM