Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sedang melengkapkan kertas siasatan berkaitan wanita yang tular di media sosial kerana berkelakuan dan berpakaian tidak senonoh di sebuah kedai makan di Setiu.

Pesuruhjaya JHEAT, M Rozi Bidin berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan wanita berusia 30-an itu selepas dia ditahan di premisnya jam 5 petang pada Selasa lalu.

Beliau berkata, pihaknya sudah merakamkan keterangan wanita terbabit sebelum dia dibebaskan dengan bon jaminan.

"Kita boleh panggil dia bila-bila masa dan kita juga sedang berusaha mendapatkan saksi-saksi yang tahu isu atau terbabit dalam kes ini.

"InsyaAllah, selepas itu kita akan serahkan kepada Jabatan Pendakwaan Syariah untuk tindakan seterusnya. Pendakwaan selepas ini akan ditentukan mengikut seksyen sama ada berpakaian tak senonoh atau melakukan sesuatu yang tidak bermoral.

M Rozi pada sidang media. FOTO Ghazali Kori
M Rozi pada sidang media. FOTO Ghazali Kori

"Kita akan tengok mengikut bidang kuasa yang ada di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penghayatan Sambutan Hari Arafah Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman Tahun 1443H/2022M di Dewan Perdana, Al-Wathiqu Billah di sini.

Majlis berkenaan dirasmikan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Yahaya Ali yang mewakili Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

M Rozi berkata, wanita terbabit pernah dipanggil untuk tindakan dan diberi nasihat supaya tidak mengulangi perbuatan sama.

"Dia pun sudah berjanji tidak akan buat (melakukan perbuatan sama) namun ia tetap berlaku," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial video yang memperlihatkan dua pelanggan tanpa segan silu memeluk dan bergambar dengan pekerja wanita di kedai berkenaan pada Ahad lalu.

Video berkenaan menimbulkan kecaman orang ramai dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang terbabit.

Berita berkaitan

JHEAT siasat video pelanggan peluk wanita

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Julai 2022 @ 1:33 PM
AKSI dua pelanggan memeluk bahu dan pinggang pekerja wanita yang menimbulkan kecaman daripada masyarakat. FOTO tular
AKSI dua pelanggan memeluk bahu dan pinggang pekerja wanita yang menimbulkan kecaman daripada masyarakat. FOTO tular