DJOKOVIC mara ke separuh akhir Terbuka Itali. -FOTO EPA
DJOKOVIC mara ke separuh akhir Terbuka Itali. -FOTO EPA
AFP

Rome: Novak Djokovic mara ke separuh akhir Terbuka Itali selepas melakarkan kemenangan 7-5, 7-6 (7/1) ke atas Felix Auger-Aliassime sekali gus kekal sebagai pemain nombor satu dunia untuk minggu ke-370.

Pilihan utama Djokovic yang mengejar gelaran keenam di Rome sebelum aksi di Roland Garros hujung bulan ini, memerlukan lebih dua jam untuk memenangi perlawanan itu.

Pemain Kanada, Auger-Aliassime itu melakukan servis berkelajuan 200km/h, melakukan 11 pukulan ace dengan kepelbagaian pukulan pada perlawanan pertamanya menentang pemenang Grand Slam sebanyak 20 kali itu, Djokovic.

Pemain berusia 21 tahun itu memenangi kejohanan ATP pertamanya di Rotterdam Februari lalu, beraksi dalam rali dan tepukan gemuruh diberikan oleh penonton dan pemain Serbia itu di awal perlawanan selepas Djokovic gagal membalas pukulan.

"Dia melakukan servis maut dan secara jujurnya satu perkara adalah berlatih dan satu lagi menentang seseorang dalam perlawanan rasmi. Ia sama sekali tidak mudah untuk saya kembali," kata Djokovic selepas perlawanan.

"Dia turut membalas pukulan dengan baik, bergerak dengan baik dan pemain yang sangat lengkap, Dia memang meminta saya naikkan tahap permainan saya.

Djokovic akan kembali di ranking nombor satu hari ini menjelang pertembungan dengan Casper Ruud di mana dia boleh mencatatkan kemenangan ke-1,000 dalam kariernya dalam perjalanan ke final.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2022 @ 10:55 AM