FRITZ meraikan kejayaan mara ke separuh akhir dan akan berdepan Djokovic. FOTO EPA
FRITZ meraikan kejayaan mara ke separuh akhir dan akan berdepan Djokovic. FOTO EPA
Reuters

Turin: Pemain tenis Amerika Syarikat (AS), Taylor Fritz mengatasi Felix Auger-Aliassime dalam pertarungan tiga set sebelum menang 7-6(4), 6-7(5), 6-2, sekali gus mara ke separuh akhir.

Rafa Nadal pula mengelak tiga kekalahan berturut-turut apabila menang 7-5, 7-5 ke atas pemain Norway, Casper Ruud di peringkat kumpulan di Pusingan Akhir ATP, hari ini.

Dalam pertarungan dua muka baharu di kejohanan itu, Fritz atau Auger-Aliassime berpeluang mara, tetapi pukulan kilas pemain Kanada itu kurang menjadi, sekali gus memberi kelebihan kepada Fritz pada set pertama.

Bagaimanapun, Auger-Aliassime bangkit dan menumbuk ke udara selepas memenangi set kedua untuk mengheret pertarungan ke set penentuan.

Pertarungan berlangsung sengit sebelum Fritz mengorak langkah pada kedudukan 3-2 manakala Auger-Aliassime terus melakukan 'unforced error'.

"Ia sangat sukar, tiada siapa mendapat peluang mudah sejak awal," kata Fritz.

"Saya tidak mahu berakhir dengan kekecewaan, terpaksa mencuba semula dengan segar. Saya bermain di set ketiga dengan merasakan sesuatu yang baru."

Kemenangan itu menyaksikan Fritz akan menentang Novak Djokovic di separuh akhir.

Nadal sudah terlepas slot ke separuh akhir ketika masuk ke gelanggang untuk aksi terakhir Kumpulan Hijau, apabila tewas dua perlawanan awal kepada Fritz dan Auger-Aliassime.

Tetapi, jaguh Sepanyol itu jelas enggan menamatkan musim dengan rekod buruk lima kekalahan berturut-turut dan jelas, ia tidak pernah dialami pemain berusia 36 tahun itu sejak memulakan karier pada 2004-05.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 11:21 AM