WELSON rangkul pingat emas acara renang 200m gaya bebas.
WELSON rangkul pingat emas acara renang 200m gaya bebas.
HM Digital

Kuala Lumpur: Meskipun sekadar meraih tiga emas, ketua jurulatih renang Paul Birminghamtetap berpuas hati dengan pencapaian perenang negara pada temasya kali ini.

Jelas Birmingham, pencapaian itu boleh dilabel mencapai sasaran, mengambil kira Malaysia turut menampilkan beberapa muka baru yang beraksi kali pertama.

Welson Sim yang beraksi di Sukan Olimpik Rio tahun lalu, muncul perenang paling cemerlang untuk negara apabila berjaya meraih dua emas serta masing-masing satu perak dan gangsa.

“Saya rasa kami tahu di mana tahap kami pada temasya ini. Jadi bagi saya tiga emas sudah memenuhi sasaran.

“Barisan perenang kita juga berjaya memperbaharui beberapa rekod kebangsaan dan kejohanan,” katanya.

Welson memenangi emas menerusi 200 dan 400 meter gaya bebas lelaki manakala satu emas lagi disumbangkan Pee Jinq En untuk acara 100m kuak dada wanita.

Mengenai kegagalan Welson memenangi pingat menerusi acara 1,500m gaya bebas, Birmingham mempunyai jawapan tersendiri.

“Saya rasa setiap orang perlu faham acara ini bukan kegemarannya. Bagi saya dia sudah mempamerkan prestasi baik apabila dapat bersaing dengan peserta lain dalam acara 1,500m ini.

“Acara tumpuan sebenarnya adalah 200 dan 400m.

“Sukar untuk seorang perenang itu mampu memberi fokus kepada acara jarak dekat dan jauh sesuatu masa,” katanya.

Malaysia menamatkan kempen di kolam renang dengan meraih tiga emas, tiga perak dan tiga gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2017 @ 11:43 AM