PENG Kean keluar daripada persaraan.
PENG Kean keluar daripada persaraan.
Ferzalfie Fauzi dan Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

Hanoi: Selepas lima tahun, atlet lawan pedang negara, Yu Peng Kean bakal membuat kemunculan semula di Sukan Sea Vietnam 2021, pentas yang menyaksikan dirinya melalui pelbagai detik manis dan duka.

Peng Kean pernah diselubungi kecederaan lutut di Sukan Sea di Jakarta 2011 yang menjadi punca utama kemerosotan prestasi kariernya dan ia mendorong kepada pembedahan ligamen di kedua-dua belah kakinya.

Atlet dari Melaka itu kembali beraksi di pentas Sukan Sea 2015 di Singapura dan berjaya membantu kontinjen negara meraih gangsa dalam acara sabre individu dan berpasukan sabre, namun kecederaan berkenaan kembali menghantuinya.

Olimpian negara di Sukan Olimpik London 2012 itu kembali menjalani pembedahan dan merancang untuk membuat penampilan di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017, namun situasi kecederaan dialaminya tampak semakin teruk dan menyukarkannya untuk berada dalam skuad.

Susulan itu, Peng Kean kemudian membuat keputusan untuk bersara pada Februari 2017. Begitupun selepas lima tahun, Peng Kean kini kembali keluar daripada persaraan di Hanoi dan dia meletakkan harapan untuk membantu pasukan lawan pedang membutirkan kilauan pingat diidamkan.

"Teruja untuk kembali beraksi kerana saya sudah lama tidak menyertai pertandingan. Tentunya tekanan itu tetap ada tetapi ia tidak seperti dulu lagi. Untuk kali ini, saya merancang untuk menikmati setiap aksi dan cuba membawa pulang sesuatu.

"Kali terakhir saya beraksi di Sukan Sea adalah di Singapura dan ketika itu meraih dua gangsa dalam acara individu dan berpasukan. Bagi saya, atlet Vietnam tentu akan memberi cabaran sengit kerana mereka sudah lama beraksi dan tidak pernah berhenti. Thailand dan Singapura juga tidak boleh dipandang mudah kerana mereka banyak menyertai kejohanan dan latihan di luar negara," katanya yang dijadual turun ke gelanggang acara sabre individu lelaki di Pusat Sukan Tertutup Hanoi, esok.

Pada temasya di Filipina 2019, kem lawan pedang menamatkan kempen dengan berada di tempat kelima daripada enam negara, mengutip dua perak dan satu gangsa.

Singapura muncul juara keseluruhan lawan pedang dengan mengumpul empat emas, tiga perak dan enam gangsa manakala Vietnam di tempat kedua, empat emas, dua perak dan empat gangsa.

Filipina berada di tangga ketiga dengan dua emas, dua perak dan tujuh gangsa manakala Thailand di tempat keempat, dua emas, dua perak dan lima gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 4:34 PM