Chef De Mission Sukan Sea Vietnam, Datuk Hamidin Mohd Amin. FOTO Bernama
Chef De Mission Sukan Sea Vietnam, Datuk Hamidin Mohd Amin. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Ketua kontinjen Sukan Sea Vietnam 2021, Datuk Hamidin Mohd Amin mahu persiapan pasukan karate dan silat diberikan keutamaan tinggi sebelum temasya edisi ke-31 itu membuka tirainya di Hanoi, November depan.

Menurutnya, berdasarkan rekod lalu, karate dan silat tidak pernah gagal menyumbang pingat emas kepada kontinjen negara di Sukan Sea dan persiapan pasukan karate serta silat harus diberi keutamaan tinggi pada temasya dua tahun lalu di Filipina, pasukan karate menyumbang empat emas dan empat perak untuk berada di tangga pertama keseluruhan manakala silat meraih dua emas dan dua gangsa (tiga keseluruhan).

Kedudukan diraih karate di Filipina itu sekali gus mempertahankan gelaran ketika Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 yang menyaksikan skuad negara meraih tujuh emas, dua perak dan empat gangsa.

Atlet silat juga tidak kurang hebatnya apabila muncul juara keseluruhan dengan meraih 10 emas, dua perak dan empat gangsa, empat tahun lalu.

Selain karate dan silat, Hamidin turut mengadakan perbincangan bersama Persekutuan Snuker&Billiard Malaysia (MSBF), Persekutuan Petanque Malaysia (PPM) dan Persekutuan Lawan Pedang Malaysia (MFF) bagi mengetahui masalah dihadapi setiap persatuan sukan kebangsaan itu menjelang temasya.

"Oleh kerana kedua-dua sukan, snuker & billiard dan lawan pedang tidak berada di bawah program pembangunan Majlis Sukan Negara (MSN), kami akan membantu MSBF dan MFF untuk mendapatkan pusat latihan dan jurulatih dalam persiapan akhir mereka menjelang temasya Sukan Asia Tenggara ke-31," kata Hamidin selain mengharapkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dapat memainkan peranan bagi menyelesaikan isu antara PPM dan badan induknya di Asia dan antarabangsa.

Hamidin mengadakan pertemuan khas semalam bersama Presiden MSBF Melvin Chia See Oon, Presiden PPM, Datuk Radzi Mansor, Presiden MFF, Rusni Abu Hassan, Setiausaha Agung Persekutuan Karate Malaysia (Makaf), Datuk Paduka Nur Azmi Ahmad dan Setiausaha Agung Persekutuan Silat Malaysia (Pesaka), Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 3:05 PM