FAIZAL Azumu ketika sidang media  pencapaian atlet Sukan Sea 2021 di The Hanoi Club.  FOTO Eizairi Shamsudin
FAIZAL Azumu ketika sidang media pencapaian atlet Sukan Sea 2021 di The Hanoi Club. FOTO Eizairi Shamsudin
Ferzalfie Fauzi dan Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

Hanoi: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengingatkan semua pihak supaya tidak mudah selesa dengan pencapaian kontinjen negara yang mampu mencapai sasaran 36 pingat emas di Sukan Sea Vietnam 2021.

Ahmad Faizal berkata, Malaysia harus pantas membuat persiapan bagi menghadapi edisi seterusnya di Kemboja yang dijadual berlangsung pada Mei tahun depan dengan menitikberatkan pembabitan atlet muda di temasya dwi tahunan berkenaan.

Ini memandangkan 81 daripada 119 atlet muda di Hanoi mampu menjelmakan 9 emas, 17 perak dan 34 gangsa pada temasya disifatkan sebagai sukan persahabatan ataupun sukan pembangunan itu.

Malah 142 daripada 367 atlet yang membuat penampilan kali pertama juga mampu menyumbangkan 15 emas, 21 perak dan 44 gangsa manakala 114 daripada 225 atlet wanita menjelmakan 14 emas, 16 perak dan 34 gangsa.

Justeru itu, Ahmad Faizal meminta supaya Majlis Sukan Negara (MSN) dan persatuan sukan kebangsaan untuk menilai semula pembabitan atlet senior dan juga atlet yang gagal menghasilkan keputusan memuaskan pada edisi kali ini walaupun ia sukar untuk 'ditelan'.

"Pada masa sama, saya mahukan MSN dan persatuan sukan kebangsaan menilai semula pembabitan atlet senior dan atlet yang gagal menghasilkan keputusan memuaskan pada kali ini.

"Jika kita perlu membuat keputusan sukar menggugurkan mereka, itulah yang terpaksa kita lakukan kerana apa yang wajar dilakukan selepas ini ialah menyalurkan peruntukan berdasarkan kepada merit pencapaian, bukan lagi berdasarkan kepada reputasi silam yang tidak lagi menjadi gambaran kekuatan terkini sesuatu sukan.

"Saya juga mengarahkan MSN untuk melakukan penilaian semula secara menyeluruh termasuk mengkaji semula senarai sukan teras yang mahu terus diperkasakan demi memastikan Jalur Gemilang megah berkibar di pentas Sukan Sea, Asia, Komawnel dan Olimpik," kata Ahmad Faizal ketika merumuskan pencapaian kontinjen di Hanoi.

Kontinjen negara mencapai sasaran ditetapkan di Hanoi dengan menjelmakan 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa untuk berada di tangga keenam daripada 11 negara yang bertanding. Vietnam muncul juara keseluruhan dengan 205 emas, 125 perak dan 116 gangsa manakala Thailand meraih 92 emas, 103 perak dan 136 gangsa untuk berada di tangga kedua keseluruhan.

Indonesia berada di tangga ketiga dengan 69 emas, 91 perak dan 81 gangsa. Indonesia yang menghantar 499 atlet yang beraksi dalam 32 daripada 40 sukan dipertandingkan berada di tangga ketiga dengan 69 emas, 91 perak dan 81 gangsa manakala Filipina di tangga keempat, 52 emas, 70 perak dan 104 gangsa.

Singapura yang dibarisi 476 atlet untuk menyertai 33 jenis sukan berjaya mendominasi sukan dipertandingkan di Olimpik iaitu renang berada di tangga kelima dengan 47 emas, 46 perak dan 73 gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2022 @ 3:08 PM