MARBAWI (dua dari kanan) bersama pengurus pasukan, Mohd Azri Mat Yusoff serta dua pemanah, Syaqiera Masyayikh (kiri) dan pemanah recurve, Khairul Anuar Mohamad (kanan) pada sidang media di MSN Bukit Jalil. FOTO GENES GULITAH
MARBAWI (dua dari kanan) bersama pengurus pasukan, Mohd Azri Mat Yusoff serta dua pemanah, Syaqiera Masyayikh (kiri) dan pemanah recurve, Khairul Anuar Mohamad (kanan) pada sidang media di MSN Bukit Jalil. FOTO GENES GULITAH
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Skuad memanah recurve dan compound negara tekad untuk menebus kehampaan persembahan buruk ketika temasya di Filipina apabila turun beraksi di Sukan Sea Hanoi, Mei ini.

Menurunkan skuad campuran senior dan junior, skuad memanah kali ini tampil dengan sasaran empat emas iaitu dua daripada acara recurve dan dua daripada compound.

Jurulatih recurve, Marbawi Sulaimi berkata, sasaran emas itu disandarkan buat skuad lelaki dalam acara berpasukan dan individu bagi kedua-dua acara (recurve dan compound).

Menurutnya, tiada spesifik atlet disandarkan harapan emas itu, namun beliau yakin akan keupayaan atlet negara untuk merealisasikan sasaran.

Katanya, mereka menurunkan pemanah berpengalaman yang pernah beraksi di tiga temasya Olimpik, Khairul Anuar Mohamad, Muhamad Zarif Syahiir Zolkepeli, Bryson Ting Tiew Liung dan Mohamad Firdaus Mohd Rusmadi.

"Kali ini, skuad memanah mahu bangkit semula daripada prestasi mengecewakan di Filipina, namun kita sedar akan cabaran terutama daripada Indonesia, tuan rumah dan Thailand.

"Latihan tetap diteruskan seperti biasa biarpun negara masih berperang dengan Covid-19 dan dua kejohanan simulasi akan diadakan untuk memastikan atlet bersedia menghadapi temasya di Hanoi.

"Namun saya akui kejohanan simulasi itu tidak mencukupi dan atlet perlu lebih banyak kejohanan lagi sebenarnya, tapi sekurang-kurangnya ia dapat membantu atlet untuk berdepan dengan situasi pertandingan," katanya pada sidang media di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Terdahulu, pasukan recurve memanah negara membawa pulang satu pingat emas, satu perak dan tiga gangsa di Kejohanan Asia di Phuket, Thailand, awal Mac lalu.

Emas tunggal negara disumbangkan Zarif menerusi acara lelaki individu yang turun ke pentas final menentang wakil Kazakstan, Dauletkeldi Zhangbyrbay.

Malaysia turut meraih perak menerusi compound berpasukan campuran serta tiga gangsa, masing-masing dalam acara recurve individu wanita, recurve berpasukan lelaki dan recurve berpasukan campuran.

Pada temasya Sukan Sea Filipina, tiga tahun lalu, skuad memanah negara membawa pulang satu emas, dua perak dan satu gangsa.

Emas disumbangkan dalam acara compound berpasukan lelaki dibarisi Mohd Juwaidi Mazuki, Zulfadhli Ruslan, M Khambeswaran.

Perak diraih Fatin Nurfatehah Mat Salleh bagi individu (compound) dan recurve berpasukan lelaki dan gangsa bagi berpasukan campuran (recurve).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 2:41 PM