FRANCO (kanan) berpendapat waktu kemuncak untuk pasukan bola tampar wanita menyinar adalah pada edisi Sukan Sea di Thailand. FOTO Bernama
FRANCO (kanan) berpendapat waktu kemuncak untuk pasukan bola tampar wanita menyinar adalah pada edisi Sukan Sea di Thailand. FOTO Bernama
Affan Rostam

Kuala Lumpur: Penyertaan pasukan bola tampar wanita kebangsaan bagi edisi Sukan Sea Vietnam kali ini dilihat sebagai langkah awal pembinaan dan penstrukturan semula pasukan untuk jangka masa panjang.

Ini kerana kali terakhir negara menghantar pasukan bola tampar wanita pada tahun 2017 ketika Malaysia menjadi tuan rumah bagi edisi Sukan Sea ketika itu.

Pengurus pasukan bola tampar kebangsaan Franco Liu berkata, selepas empat tahun pasukan kebangsaan akan mengambil bahagian semula dalam edisi Sukan Sea yang akan diadakan Mei ini.

"Ini adalah starting point buat pasukan negara dan apa yang penting kali ini kita nak bina semula pasukan bola tampar kebangsaan.

"Kita sangat yakin kerana pasukan kita terdiri daripada pemain muda dan tinggi. Kita harap mereka memberi komitmen penuh buat negara," katanya, pada sidang media hari ini.

Pemain kebangsaan terdiri daripada 80 peratus pemain baharu dan hanya 20 peratus khidmat pemain senior digunakan. Purata umur pemain adalah dalam lingkungan 21 tahun.

"Sekarang ini kita banyak mengambil pemain muda yang mana umur mereka tidak melebihi 25 tahun.

"Kita juga sudah fikirkan untuk siri-siri Sukan Sea akan datang dan Ini sebagai permulaan kepada pembangunan bola tampar di Malaysia," katanya.

Sasaran yang diletakkan buat pasukan kebangsaan ialah mara ke peringkat separuh akhir disebabkan kali ini hanya lima negara sahaja yang menghantar wakil.

Franco turut berpendapat waktu kemuncak untuk pasukan bola tampar wanita menyinar adalah pada edisi Sukan Sea di Thailand akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 5:55 PM