CHEONG Jun Hoong (kiri) dan Pandelela Rinong.
CHEONG Jun Hoong (kiri) dan Pandelela Rinong.
Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid

GOLD COAST: Venue terbuka di Pusat Akuatik Optus dikenali sebagai satu daripada venue paling berangin dan keputusan melangsungkan semua acara akhir pada sebelah malam menambah kesukaran buat penerjun negara di temasya Komanwel kali ini.

  Pertandingan bermula esok dengan penerjun lelaki akan memulakan saingan dalam acara 1 meter papan anjal diikuti acara 3m papan anjal wanita dan 10m terjun seirama.

  Malaysia mempertaruhkan dua pasangan dalam acara 10m terjun seirama terdiri daripada gandingan pemenang perak Olimpik Rio iaitu Cheong Jun Hoong-Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri-Leong Mun Yee.

  Dhabitah-Mun Yee akan turut beraksi dalam acara 3m terjun seirama sementara Ahmad Amsyar Azman, Ooi Tze Liang dan Syafiq Puteh akan beraksi dalam acara 1m papan anjal.

  Jun Hoong-Pandelela seharusnya tidak berdepan masalah menamatkan aksi di kedudukan podium berdasarkan prestasi mereka di Siri Dunia apabila meraih perak ketika di Beijing dan gangsa di Fuji, Jepun.

  Bagaimanapun, Jun Hoong meluahkan kebimbangannya mengenai masalah angin dan keadaan cuaca sejuk yang boleh menjejaskan kualiti terjunannya bersama Pandelela dalam acara platform.

  “Keadaan di sini sedikit sukar tapi kami tidak boleh berbuat apa-apa. Semua atlet berusaha keras menyesuaikan diri,” kata Jun Hoong yang mencuri tumpuan apabila muncul juara dunia dalam 10m platform di Budapest.

  “Keadaan cuaca sangat berangin. Kolam yang terletak berhampiran laut akan membuatkan cuaca sentiasa sejuk. Berangin dan anginnya sangat kuat.

  “Beraksi pada sebelah malam menjadikannya lebih mencabar.  Kami cuba untuk menyesuaikan diri dengan keadaan ketika latihan.

  “Jurulatih (Zhang Yukun dan Christian Brooker) memberi tahu kepada kami untuk terus kekal positif dan lakukan yang terbaik.

  “Acara terjun memerlukan anda sentiasa fokus sepanjang pertandingan berlangsung. Kami perlu kuat secara mental dan fizikal serta cuba untuk mengatasi masalah cuaca,” kata Jun Hoong yang turut memaklumkan kecederaan belakang masih lagi menghantuinya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 April 2018 @ 4:49 PM