BARISAN atlet terjun negara yang menakluki Pusat Akuatik My Dinh. FOTO Eizairi  Shamsudin
BARISAN atlet terjun negara yang menakluki Pusat Akuatik My Dinh. FOTO Eizairi Shamsudin
Ferzalfie Fauzi dan Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

Hanoi: Penerjun negara menamatkan edisi Sukan Sea Hanoi sebagai juara keseluruhan apabila berjaya meraih lapan pingat emas, tiga perak dan satu gangsa, sekali gus meneruskan dominasi acara terjun di temasya itu sejak 2005.

Jurulatih merangkap pengurus pasukan terjun negara, Datuk Leong Mun Yee gembira dengan prestasi dipamerkan atletnya biarpun menurunkan gabungan atlet muda dan berpengalaman di Pusat Akuatik My Dinh itu.

"Kami menyasarkan lapan emas dan empat gangsa, tetapi berjaya melepasi sasaran dengan menang lapan emas, tiga perak dan satu gangsa jadi saya gembira dengan persembahan keseluruhan kami. Kami menurunkan seorang penerjun senior dan seorang junior dalam setiap acara. Ini langkah pertama memberi pendedahan kepada atlet muda di peringkat Sukan Sea.

"Ia Sukan Sea pertama untuk atlet seperti Ong Ker Ying dan Bertrand Rhodict Lises walaupun masih ada penambahbaikan perlu dibuat, saya fikir mereka sudah pamerkan aksi yang baik. Bagi Ker Ying, saya percaya dia masih boleh tingkatkan prestasi dari segi terjunan individu dan boleh tingkatkan lagi tahap kesukaran terjunannya.

"Bagi Rhodict, dia sebenarnya seorang penerjun platform, tetapi masih mampu memenangi gangsa walaupun mempunyai tempoh masa singkat untuk membuat persediaan. Rhodict menduduki tempat ketiga dalam acara satu meter papan anjal individu lelaki yang mana acara itu dimenangi oleh penerjun senior Ooi Tze Liang. Ker Ying pula bekerjasama dengan senior Wendy Ng untuk memenangi emas acara tiga meter papan anjal wanita," katanya.

Menurut Mun Yee, dia percaya kombinasi ikon terjun, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri akan bertambah baik pada masa akan datang.

Kedua-duanya menghadiahkan pingat emas kelapan, sekali gus yang terakhir buat negara dalam sukan itu selepas memenangi acara 10 meter platform seirama wanita, kelmarin.

Mereka digabungkan sebagai pasangan tahun ini berikutan persaraan Mun Yee dan Cheong Jun Hoong daripada terjun kompetitif tahun lalu. Dua bekas atlet itu pernah bekerjasama dengan Pandelela sebelum ini.

"Pandelela dan Dhabitah sebenarnya pernah bekerjasama dalam Sukan Komanwel sebelum ini. Bagaimanapun mereka mempunyai masa terhad untuk membuat persiapan bagi Sukan Sea (sejak bergabung semula).

"Saya fikir mereka masih boleh menjadi lebih baik dari segi terjunan individu dan keseragaman terjunan. Saya menjangkakan mereka akan bertambah baik menjelang Sukan Asia dan Komanwel akan datang kerana mereka mempunyai lebih banyak masa untuk membuat persediaan.

"Dhabitah turut memenangi emas acara satu meter papan anjal wanita individu di Hanoi. Manakala Syafiq Puteh dan Wendy memenangi emas acara tiga meter papan anjal lelaki dan wanita individu," katanya.

Ini pengalaman pertama Mun Yee sebagai pengurus pasukan kebangsaan dan dia tidak menolak untuk menggalas tugas itu lagi pada masa depan.

"Ia berbeza dengan menjadi seorang atlet. Ia agak memenatkan sebenarnya, tetapi ada banyak kepuasan terutama ketika semuanya berjalan lancar.

"Saya juga sedang melatih pasukan kebangsaan sekarang, tetapi tidak keberatan menggalas tugas sebagai pengurus pasukan lagi jika ditawarkan," katanya yang mengumpul 17 pingat emas di Sukan Sea sejak edisi 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 5:38 PM