SHEREEN Samson Vallabouy. FOTO FB Shereen Samson
SHEREEN Samson Vallabouy. FOTO FB Shereen Samson
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pelari 400 meter (m) negara, Shereen Samson Vallabouy kini tidak sabar untuk membuat penampilan kali pertama di Kejohanan Olahraga Dunia di Eugene, Oregon, Amerika Syarikat yang akan membuka tirai kejohanan dari 15 hingga 24 Julai ini.

Tampil dengan status wild card, Shereen berharap dapat membanggakan Malaysia dengan melakukan catatan masa lebih baik berbanding dengan apa yang pernah dicatatkan olehnya sebelum ini.

Nama Shereen mula menjadi sebutan apabila pada 12 Mac lalu pelari berusia 23 tahun itu memenangi emas perlumbaan 400m wanita dalam dewan di kejohanan NCAA Division II yang diadakan di Pittsburgh State University dengan catatan masa 53.79 saat, sekali gus memecahkan rekod 12 tahun Northern Sun Intercollegiate Conference.

Catatan masa Shereen itu, bukan sahaja melepasi rekod terbaik peribadinya 54.94s tetapi juga memecahkan rekod kebangsaan dalam dewan berusia 16 tahun dengan catatan 54.58s yang dipegang oleh Noraseela Mohd Khalid.

"Saya tak sabar untuk beraksi dan berharap dapat membuat yang terbaik untuk negara dengan sasaran untuk memecahkan catatan terbaik peribadi saya.

"Selepas Kejohanan Dunia ini fokus saya akan terarah ke Sukan Komanwel pula.

"Dua kejohanan itu antara yang paling saya nantikan terutama selepas Sukan Asia di China ditangguhkan tahun depan," katanya.

Mengulas mengenai sesi latihannya menjelang dua kejohanan berkenaan, Shereen berkata, dia akan menjalani sesi latihan iaitu pada sebelah petang dengan masa diperuntukkan adalah empat kali seminggu.

"Jadual saya agak padat juga dengan pelajaran dan latihan. Tapi itu bukan satu masalah.

"Setiap minggu akan ada empat kali sesi latihan dan dua hari untuk sesi pemulihan. Hari rehat saya hanyalah pada hari Sabtu saja," kata anak bongsu kepada bekas bintang olahraga negara, Samson Vallabouy dan Josephine Mary Singarayar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2022 @ 3:50 PM