BUDIAK menjadi sandaran TSG untuk meraih mata UCI. Foto Instagram terengganupolygoncyclingteam
BUDIAK menjadi sandaran TSG untuk meraih mata UCI. Foto Instagram terengganupolygoncyclingteam
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Pasukan bertaraf benua Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) menyasarkan sekurang-kurangnya satu lagi penamat podium sebelum mengakhiri siri perlumbaan selama tiga bulan di Eropah, Asia Barat dan Afrika hujung minggu ini.

Sudah tentu sandaran pasukan berpangkalan di Kuala Terengganu itu diletakkan di bahu pelumba baharu dari Ukraine, Anatolii Budiak yang bertindak cemerlang setakat ini dengan enam podium dalam enam perlumbaan.

"Pasukan masih lagi berada di Turki sehingga 20 Mac ini. Cuma ada enam pelumba balik awal untuk bersiap sedia menghadapi Jelajah Terengganu sebab ia perlumbaan di gelanggang sendiri selain sebagai persiapan sebelum menyertai Tour of Thailand pada awal April," kata pengurus pasukan TSG, Mohd Saiful Anuar Aziz.

"TSG masih ada dua lagi perlumbaan pada 19 dan 20 Mac ini. Kami sasarkan sekurang-kurangnya satu podium. Perlumbaan terakhir nanti pada 20 Mac (Ahad ini) adalah laluan yang sama Anatolii muncul juara Grand Prix Mediterranean baru-baru ini," katanya ketika dihubungi.

Bagi perlumbaan sehari Grand Prix Manavgat kategori 1.2 Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) Sabtu ini, pelumba TSG, Mohd Harrif Saleh adalah juara bertahan namun dia tidak boleh mempertahankannya kerana sudah pulang ke Kuala Terengganu bersama lima pelumba.

TSG akan menamatkan kempen tiga bulan yang menyaksikan mereka menyertai Jelajah Saudi, Tour of Sharjah (UAE), Tour of Antalya (Turki) dan Tour du Rwanda menerusi perlumbaan sehari Grand Prix Gundogmus Ahad ini dengan Budiak berpeluang melakar kemenangan di laluan yang digemarinya itu.

Selain menjuarai GP Mediterranean pada 6 Mac lalu, Budiak turut muncul naib juara keseluruhan Tour du Rwanda (20-27 Februari) dan menghuni tangga ketiga Grand Prix Alanya pada 5 Februari lalu.

Dia turut menang peringkat keenam Tour du Rwanda dan tangga kedua peringkat keempat manakala pada Tour of Sharjah, dia menduduki tangga kedua peringkat ketiga.

Harrif turut muncul naib juara GP Justiniano pada 20 Februari lalu manakala Irwandie Lakasek juga melakar kejayaan serupa pada GP Gazipasa pada 5 Mac.

TSG juga muncul juara berpasukan keseluruhan pada Tour of Sharjah dan Tour of Antalya.

Ketika sembilan pelumba masih meneruskan saingan di jelajah Eropah, Harrif dan rakannya bersiap sedia menyertai Jelajah Terengganu - Tour Gateh d'Ganu 2022 dari 20 hingga 25 Mac ini.

Selain Harrif, TSG turut dibarisi Nur Amirul Fakhruddin Mazuki, Wan Abdul Rahman Hamdan, pelumba import Jamal Hibatullah dari Indonesia dan dua pelumba akademi manakala Mohd Zamri Saleh dan Muhammad Afiq Huznie Othman akan turun mewakili pasukan Navy (Tentera Laut Diraja Malaysia).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 4:32 PM