Ketua jurulatih ragbi Terengganu, Izaimi Zainuddin menghembuskan nafas terakhir petang hari ini akibat jangkitan kuman. FOTO Ihsan PRNT
Ketua jurulatih ragbi Terengganu, Izaimi Zainuddin menghembuskan nafas terakhir petang hari ini akibat jangkitan kuman. FOTO Ihsan PRNT
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kem ragbi Terengganu kehilangan permata bernilai selepas ketua jurulatihnya, Izaimi Zainuddin, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), petang ini.

Yang Dipertua Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT), Amir Amri Muhammad berkata, jurulatih kelahiran Negeri Sembilan itu menghembuskan nafas terakhir akibat jangkitan kuman susulan pembedahan kerongkong di hospital berkenaan pada Rabu lalu.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) berkata, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 9, Kota Damansara, Selangor awal pagi esok.

"Allahyarham Izaimi dimasukkan ke HKL pada Isnin lalu untuk menjalani pembedahan kerongkong pada Rabu.

"Pada jam 4.45 petang hari ini, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir akibat jangkitan kuman di Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL.

"Kematian Allahyarham satu kehilangan besar khususnya buat pasukan ragbi Terengganu kerana arwah banyak menyumbang tenaga, idea dalam membangunkan sukan itu.

"Allahyarham juga seorang jurulatih yang disegani selain sudah banyak membantu kejayaan pasukan negeri sehingga bergelar antara salah satu kuasa ragbi dalam negara," jelas Amir Amri ketika dihubungi hari ini.

Izaimi, 48, yang juga seorang guru di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Terengganu adalah watak penting membawa Terengganu menjulang Piala Agong pada 2019 mengalahkan Sabah pada perlawanan akhir.

Malah beliau juga melatih skuad Sukan Malaysia (Sukma) dan jurulatih Piala Agong Terengganu sejak 2017 hingga kini, selain pernah membimbing pasukan Bawah-17 (B-17) dan Bawah-15 (B-15) negara pada 2011 dan 2016.

Dia juga pernah membimbing skuad negara tujuh sebelah Bawah-20 (B-20) pada 2017 dan Bawah-19 (B-19) negara 15 sebelah pada 2016 hingga 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Disember 2021 @ 9:01 PM