ABDUL Hamid Salleh. Foto Ihsan keluarga.
ABDUL Hamid Salleh. Foto Ihsan keluarga.
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Bekas wartawan sambilan Berita Harian Terengganu, Abdul Hamid Mohd Salleh meninggal dunia Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada jam 9 pagi, hari ini.

Allahyarham yang berusia 70 tahun meninggal dunia kerana jangkitan kuman pada organ utama dan menghembuskan nafas terakhir di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ.

Abdul Hamid meninggalkan lapan anak berusia 31 hingga 44 tahun hasil perkahwinan dengan Lijah Embong, 67.

Anaknya Mohamad Shahrir, 31, berkata, arwah dikesan menghidap penyakit leukemia pada 13 April lalu dan mendapat rawat di sebuah hospital swasta sebelum dipindahkan ke HSNZ keesokan harinya.

"Allahyarham mengalami bengkak pada leher dan menerima rawatan di wad biasa selama seminggu sebelum dimasukkan ke ICU selepas tidak boleh bernafas sejak tiga hari lalu.

"Bagaimanapun pagi ini arwah menghembuskan nafas terakhir di wad ICU," katanya.

Allahyarham yang mula berkhidmat sebagai wartawan sambilan Berita Harian pada 1976 hingga 2012 dan juga Naib Yang Dipertua Asrama Anak Yatim Darul Falah, Bukit Payung itu dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Sentul selepas Asar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 11:04 AM