WOODS (kiri) mengakui dia masih perlu melalui pemulihan kecederaan kaki. FOTO AFP
WOODS (kiri) mengakui dia masih perlu melalui pemulihan kecederaan kaki. FOTO AFP
AFP

Miami: Tiger Woods akan beraksi saingan kompetitif buat kali pertama sejak mengalami kecederaan kaki yang mengancam kariernya ketika terbabit dalam kemalangan kereta Februari lalu.

Bagaimanapun, dia berkata semalam kejohanan keluarga Kejuaraan PNC tidak boleh dijadikan ukuran sama ada dia sudah bersedia menyertai Jelajah PGA.

"Perjalanan saya masih jauh untuk menjalani proses pemulihan ini. Saya belum mempunyai ketahanan untuk bermain di peringkat jelajah.

"Ia sangat berbeza. Di sini saya boleh pukul bola sesuka hati. Bagaimanapun, di jelajah saya harus melakukan pukulan jauh dan tidak boleh lari daripada sasaran yang ditetapkan," kata juara kejuaraan utama sebanyak 15 kali itu yang terbabit dalam kemalangan kereta di pinggir Los Angeles.

Bagaimanapun, Woods bersedia untuk penampilan kedua berturut-turut dalam acara itu bersama anak lelaki Charlie yang berusia 12 tahun, sesuatu yang tidak ada dalam perancangannya ketika dia menghabiskan masa selama tiga bulan di atas katil selepas kemalangan.

"Hakikatnya, saya boleh bermain dan mahu meraih pengalaman ini dengannya. Saya mahu menyaksikannya melakukan pukulan atau memberi galakan ketika dia ingin melakukan pukulan.

"Satu perkara yang boleh saya lakukan, saya boleh memikirkan cara saya di sekitar padang golf. Saya mungkin tidak dapat melaksanakannya, tetapi saya boleh membantu menyusun strategi beberapa pukulannya.

"Di mana dia harus melakukan pukulan, bagaimana untuk memukulnya, perkara-perkara seperti itu dan memastikan bahawa dia berseronok," kata Woods.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 3:25 PM