Tiger Woods. FOTO AFP
Tiger Woods. FOTO AFP
AFP

Los Angeles: Bintang golf, Tiger Woods menaruh keyakinan akan kembali bersaing di kejohanan utama hanya setahun selepas kemalangan kereta yang menyebabkan dirinya bergelut dengan kecederaan kaki.

"Ya, saya akan kembali," kata Woods menjelang kejohanan Jemputan Genesis dekat Riviera Country Club, di mana juara utama 15 kali itu menjadi tuan rumah kejohanan berkenaan.

Pemain berusia 46 tahun itu mengulangi bahawa dia tidak berhasrat beraksi pada jadual penuh Jelajah PGA AS dan mengakui setakat ini dia tidak pasti sama ada bila dia cukup bersedia untuk kembali.

"Saya berharap saya dapat memberitahu anda. Saya tidak tahu, saya harap saya sendiri mengetahuinya," kata Woods.

Kenyataan Woods itu sekali gus menolak jangkaan dia mungkin melakukan penampilan mengejutkan di kejohanan Masters dekat Augusta National pada April depan.

Woods menggembirakan peminatnya ketika tampil bersama anak lelakinya, Charlie di Kejohanan PNC dekat Florida pada Disember lalu.

Namun jelas Woods sebelum ini, dia tetap akan menyertai kejohanan jemputan atau pilihan yang dirasakan sesuai buat dirinya.

"Saya masih berusaha untuk berjalan dengan baik. Perjalanan masih jauh," kata Woods yang menjalani beberapa pembedahan sejak kemalangan pada 23 Februari 2021 di Los Angeles.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Februari 2022 @ 9:57 AM