META ceria selepas menguasai Piala Datuk Bandar Kuala Lumpur. FOTO NAZRI ABU BAKAR
META ceria selepas menguasai Piala Datuk Bandar Kuala Lumpur. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Kejayaan muncul juara keseluruhan kejohanan Teqball Piala Datuk Bandar Kuala Lumpur menyemarakkan semangat pengurusan Persatuan Teqball Melaka (META) untuk menguasai kejohanan sukan itu di negara ini.

Pengurus pasukan Melaka, Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah berkata, walaupun pertama kali menyertai kejohanan teqball berkenaan di negara ini selepas ditubuhkan setahun lalu, namun kejayaan itu jelas sebagai suntikan motivasi kepada pengurusan, pemain dan jurulatih untuk menyediakan barisan lebih mantap selepas ini.

Katanya, dia juga tidak menyangka penyertaan sulung terbabit membuahkan hasil terbaik selepas memenangi kategori individu, beregu lelaki dan beregu campuran pada kejohanan di Kuala Lumpur minggu lalu.

Menurutnya, dengan kejayaan berkenaan META kini bersedia untuk sekali lagi berusaha menguasai satu lagi kejohanan di Johor Bahru yang dijadualkan berlangsung awal tahun hadapan.

"Pada saingan di KL pemain kami Ash Hameed dan Muhammad Khaliqdin Nordin menguasai acara beregu lelaki selain Ash Hamed juga muncul juara perseorangan dalam masa sama dia membentuk gabungan dengan Nurul Azurin Mazlan untuk menjuarai acara beregu campuran.

"Persembahan konsisten skuad Melaka amat membanggakan walaupun cuba diberi saingan sengit semua pasukan bertanding pada kejohanan terbabit," katanya.

Sehubungan itu, apa yang penting buat masa ini latihan konsisten dan persefahaman mantap antara pemain terus dibentuk dalam usaha mencapai lebih banyak kejayaan sepanjang musim 2022 kelak.

Sementara itu, META masih belum menentukan tarikh baru sebagai tuan rumah Kejohanan Teqball Kebangsaan selepas dua kali ditangguhkan akibat pandemik Covid-19 sebelum ini.

Beliau berkata, kemungkinan ia akan diadakan pada pertengahan tahun hadapan mengikut kesesuaian masa dan situasi semasa pandemik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 2:59 PM