Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah
Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah
Nazri Abu Bakar


Melaka: Melaka bakal menjadi tuan rumah Kejohanan Teqball Kebangsaan yang berlangsung pada 10 dan 11 April depan di Dewan Teqball Masjid Tanah.

Presiden Persatuan Teqball Melaka, Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah berkata, tiga kategori bakal dipertandingkan membabitkan perseorangan, beregu dan beregu campuran.

Katanya, pada 10 April saingan membabitkan sirkit satu dan keesokan sirkit kedua kebangsaan dengan baki sirkit lain akan ditentukan oleh Persatuan Teqball Malaysia.

Menurutnya, pihaknya gembira dipilih sebagai tuan rumah walaupun pada awalnya sirkit satu dijadualkan berlangsung di Perlis pada 23 Mac dan Melaka hanya menganjurkannya bagi sirkit keempat.

"Bagaimanapun situasi semasa serta pandemik Covid-19 kami diberi tanggungjawab berkenaan. Justeru kami tetap menyambut baik kejohanan diadakan di Melaka kerana ianya bakal menghimpunkan pemain pemain terbaik negara termasuk Emilia Eva Natasha Saudia yang pernah menjalani latihan di Perancis selain Siti Asnidah Zamri dan Fauzan Azmi.

"Malah ianya juga pentas buat pemain muda belajar sesuatu daripada pemain-pemain terbabit dalam mengetengahkan bakat mereka," katanya.

Beliau berkata, kejohanan juga sebagai medan pemilihan pemain kebangsaan mewakili negara di peringkat antarabangsa.

Maisarah berkata, antara pasukan yang sudah mengesahkan penyertaan termasuk Perak, Selangor, Perlis dan Melaka dalam kejohanan yang membabitkan kira-kita 40 pemain yang bersaing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mac 2021 @ 9:09 PM