ABDULLAH berkata kejohanan berkenaan akan diadakan juga sebelum akhir tahun ini namun ia akan ditentukan menerusi perkembangan semasa. FOTO NAZRI ABU BAKAR
ABDULLAH berkata kejohanan berkenaan akan diadakan juga sebelum akhir tahun ini namun ia akan ditentukan menerusi perkembangan semasa. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar

Melaka: Persatuan Teqball Melaka sekali lagi terpaksa menangguhkan Kejohanan Teqball Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada 29 dan 30 Mei kepada tarikh baharu yang belum ditetapkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Timbalan Pengerusi persatuan terbabit, Abdullah Md Derus berkata, keputusan penangguhan selaras pelaksanaan PKP termasuk larangan rentas daerah dan negeri.

Katanya, persatuan terbabit juga belum menetapkan tarikh baharu kejohanan itu tambahan kewujudan varian-varian baharu dengan kadar jangkitan yang masih belum dilandaikan sepenuhnya.

Justeru, persatuan juga akur dan menyokong semua arahan serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan komuniti masyarakat bagi mengelakkan situasi lebih membimbangkan.

"Apapun, kejohanan akan diadakan juga sebelum akhir tahun ini namun ia akan ditentukan menerusi perkembangan semasa dalam masa terdekat.

"Kami juga mengharapkan pandemik Covid-19 akan segera berakhir dan aktiviti sosial serta sukan kembali diadakan semula kelak, "katanya.

Sebelum ini, Melaka dijadualkan menganjurkan kejohanan berkenaan pada 10 dan 11 April namun ditangguhkan kepada 29 dan 30 Mei dan kini sekali lagi kepada tarikh baharu.

Beliau berkata, kejohanan dijadualkan diadakan di Dewan Komuniti Kompleks Hang Jebat, Paya Rumput selepas lokasi awal di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Masjid Tanah dipilih menjadi lokasi Program Imunisasi Kebangsaan.

Abdullah berkata, saingan menyaksikan tiga kategori bakal dipertandingkan iaitu perseorangan, beregu dan beregu campuran membabitkan 16 pasukan yang bertanding termasuk Selangor, Perak, Perlis dan Melaka.

Apa yang menarik kejohanan berkenaan bakal menampilkan pemain terbaik negara termasuk Emilia Eva Natasha Saudia yang pernah menjalani latihan di Perancis selain Siti Asnidah Zamri dan Fauzan Azmi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 7:01 PM