DATUK Ahmad Shapawi Ismail. FOTO Asyraf Hamzah
DATUK Ahmad Shapawi Ismail. FOTO Asyraf Hamzah
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: "Kami kehilangan seorang mentor, abang dan rakan karib yang selalu memberi komen serta tunjuk ajar," jelas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkenaan pemergian Datuk Seri Zolkples Embong.

Menurut Ahmad Shapawi, ia satu berita mengejutkan, tatkala beliau sendiri sudah lama bersama dengan arwah.

"Kami sangat bersedih dan pemergian arwah satu kehilangan besar kepada dunia sukan negara. Sumbangan arwah begitu banyak sekali dalam membawa program baru, program pembangunan dan program latihan atlet selama ini.

"Arwah seorang yang terbuka lantang, akan cakap apa beliau hendak cakap dan dalam masa sama beri perhatian kepada kami serta para staf beliau.

"Saya sendiri pernah bekerja dengan arwah yang mesra dengan semua orang. Saya rasa seorang pemimpin yang baik dan sekurang-kurangnya sudah bawa kami ke satu tahap pengurusan program latihan atlet yang agak berjaya sekarang ini.

"Arwah juga membuktikan pengurusan yang baik semasa beluau mengendalikan KL2017 (Sukan SEA). Arwah sudah beri satu impak yang besar dalam kemajuan sukan negara," kata Ahmad Shapawi.

Ditanya bila arwah ditemui tidak sedarkan diri, beliau berkata kakitangan MSN pergi ke rumah arwah dan didapati pintu berkunci usaha dilakukan untuk cuba masuk dalam rumah sebelum mendapati arwah terbaring di ruangan dapur dalan keadaan tidak sedar.

"Pihak hospital yang dihubungi mengesahkan arwah sudah meninggal dunia ketika jenazah dijumpai. Berdasarkan maklumat arwah kebiasaannya Solat Jumaat di MSN dan tidak hadir Jumaat lalu.

"Pada sebelah malam (Jumaat lalu) ada beberapa orang staf MSN membawa ubat dan vitamin kepada arwah yang didapati kurang sihat.

"Kali terakhir mereka bertemu arwah ketika menyaksikan perlawanan badminton Malaysia menentang Indonesia di separuh akhir Piala Sudirman (awal pagi Sabtu).

"Komunikasi terakhir staf MSN itu bersama arwah pada Sabtu jam 12.45 tengah hari dan selepas itu tidak berbalas sehingga arwah ditemui pagi tadi.

"Apa yang jelas ujian RTK sudah dilakukan dan negatif, malah kebetulan arwah ada buat ujian sendiri dan didapati negatif sekali gus membolehkan pihak polis memberi permit pengebumian dan urusan jenaszah seperti biasa," katanya.

Ditanya sama ada arwah mempunyai sejarah sebarang penyakit, Ahmad Shapawi berkata, arwah pernah melakukan pembedahan pintasan jantung antara 2008-2009.

"Memang arwah dalam pemantauan kesan impak daripada pembedahan

dilalui sama seperti yang lain. "Tapi saya dan kawan-kawan tak pernah mendengar arwah merungut mengenai jantung dan sebagainya. Kita doakan yang terbaik untuk arwah dan kita kenang jasa baiknya," katanya.

Allahyarham dilahirkan pada 29 Februari 1959 di Dungun, Terengganu dan memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1982.

Allahyarham kemudian dilantik sebagai Pegawai Kanan Kebudayaan, Belia dan Sukan di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bermula dari 3 Mei 1982 sebelum menjawat jawatan Pegawai Kemajuan Sukan di MSN pada 1984.

Atas kejayaan cemerlang, Allahyarham dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Tingkatan Kanan (A12) dari 1 Jun 1990 sebelum mengorak langkah sebagai Pegawai Belia dan Sukan Gred S2 sebagai Pengarah di bahagian Pengurusan MSN pada 1992.

Pada Ogos 2005, Allahyarham dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah sebelum diangkat sebagai Ketua Pengarah pada 25 April 2007 dan bersara daripada jawatan berkenaan pada Disember 2014.

Antara sumbangan yang dicurahkan Allahyarham disepanjang perkhidmatannya adalah seperti menjadi pegawai pertama melaksanakan program pembangunan seperti Program Bakat Kebangsaan, Bakat Khas, Bakat Sekolah dan Tunas Cemerlang di seluruh negara yang melahirkan ramai jaguh kebangsaan pada masa ini.

Antara lain, Allahyarham adalah antara penggerak utama dalam proses merangka Akta Pembangunan Sukan 1997 dan pembinaan Kompleks Sukan Negara.

Selepas Solat Jenazah di Masjid Sri Petaling jenazah di bawa pulang ke Dungun, Terengganu untum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 5:12 PM