SHAPAWI mula bertugas hari ini.
SHAPAWI mula bertugas hari ini.
Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Ahmad Shapawi Ismail dipilih Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), umum Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau akan memulakan tugas baru itu hari ini, menggantikan Datuk Seri Zolkples Embong yang kini dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.

Menurut Khairy, pemilihan Shapawi berdasarkan kriteria dimilikinya berbanding lapan calon akhir lain, malah beliau pernah memegang dua jawatan besar sebelum ini iaitu Pesuruhjaya Sukan dan CEO Institut Sukan Negara (ISN).

“Beliau dilantik atas pengalaman luasnya dalam bidang sukan selain dalam sesi temuduga menunjukkan visi yang baik,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengurus MSN semalam.

Jelasnya, Shapawi juga adalah antara individu yang memegang ketiga-tiga jawatan besar dalam sukan negara ketika ini.

Sementara itu, Shapawi menghargai kepercayaan diberikan kepadanya untuk memimpin MSN, malah pelantikannya itu juga tiada bezanya kerana ia juga sebahagian daripada tugasnya selama ini.

“Kita akan bekerjasama dengan persatuan sukan kebangsaan bagi membawa atlet negara ke peringkat lebih tinggi.

“Sebenarnya banyak kerja penyelarasan dengan rakan strategik lain menghadapi temasya sukan besar dan pembangunan prestasi tinggi secara keseluruhan. Kedua-dua aspek ini perlu berjalan serentak.

“Dalam masa terdekat kita perlu menyelaras status perancangan kita selari dengan rakan strategik seperti ISN, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan paling penting persatuan sukan khususnya pembangunan sukan prestasi tinggi.

“Kumpulan atlet ini perlu melakukan yang terbaik dalam mengembangkan bakat sedia ada ke peringkat lebih baik.

“Alhamdulillah, saya sebenarnya dibentuk dan berpengalaman dalam program latihan atlet sebelum ini di MSN kemudian di ISN.

“Dengan bantuan rakan-rakan strategik, kita akan fokus melahirkan program latihan lebih berkesan,” katanya.

Tambahnya, ini sangat penting bagi memastikan bukan saja pencapaian terbaik tetapi kesinambungan melahirkan atlet mewakili negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Disember 2014 @ 5:08 AM