NICOL (kiri)  meraih pingat emas, Ong Beng Hee (tengah) gangsa dan Low Wee Wern (perak) pada Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan.
NICOL (kiri) meraih pingat emas, Ong Beng Hee (tengah) gangsa dan Low Wee Wern (perak) pada Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan.
Oleh Aida Adilah Mat


Ahmad Shapawi Ismail dilantik secara rasmi oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai peneraju baru Majlis Sukan Negara (MSN) menggantikan tugas Datuk Seri Zolkples Embong. 

Pemilihan Shapawi berdasarkan kriteria dimiliki, menewaskan lapan calon lain untuk mengemudi badan sukan itu yang dikatakan gagal memenuhi pencapaian disasarkan pada temasya sukan utama sepanjang 2014.

Berpengalaman memegang dua jawatan besar sebelum ini, Pesuruhjaya Sukan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN) diharapkan mengembalikan semula kegemilangan atlet dan sukan negara.

Ikuti pandangan Shapawi dalam misinya membawa MSN memasuki era baru sukan negara.

Bagaimana reaksi anda ketika dipilih menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah MSN yang baru?

Pertamanya saya menghargai kepercayaan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin serta Kementerian Belia dan Sukan memilih saya memimpin MSN.

Pelantikan ini seperti sebahagian daripada kerja saya dan insya-Allah saya bersama-sama kakitangan MSN akan meningkatkan lagi perkhidmatan selain menjalinkan kerjasama dengan persatuan sukan membawa atlet negara ke peringkat lebih tinggi dan terbaik.

Apa yang bakal anda lakukan untuk meneraju MSN dalam waktu terdekat ini terutama ketika negara dalam persiapan menghadapi temasya Sukan SEA di Singapura?

Banyak yang perlu dilakukan khususnya penyelarasan bersama rakan-rakan yang bukan hanya untuk menghadapi temasya sukan besar malah dari segi pembangunan prestasi tinggi secara keseluruhan.

Kedua-dua aspek ini perlu berjalan serentak dan untuk masa terdekat ini sudah tentu saya akan cuba bekerjasama dengan rakan strategik seperti ISN, Kementerian Pelajaran dan yang penting adalah persatuan sukan kebangsaan khususnya dalam pembangunan prestasi tinggi menjana peningkatan aksi atlet negara.

Justeru pendekatan yang bagaimana ada ambil?

Kita sudah mempunyai kumpulan atlet dan apa yang perlu adalah MSN cuba melakukan yang terbaik buat atlet negara bagi memastikan bakat mereka dikembangkan atau membantu memajukan bakat sedia ada dalam kalangan atlet negara ke peringkat lebih tinggi.

Pastinya terdapat kelemahan yang dilihat daripada mata kasar segelintir pihak dan apa anda lakukan untuk memperbaikinya? 

Saya akan cuba gunakan segala pengalaman yang ada terutama ketika memimpin ISN menyediakan khidmat sokongan sains untuk membantu menggembleng segala kelemahan yang ada.

Bantuan rakan-rakan (ISN, persatuan sukan, kementerian pelajaran Malaysia) amat diperlukan ke arah melahirkan program latihan yang berkesan bagi memastikan ia bukan hanya dapat melakar pencapaian terbaik malah meneruskan kesinambungan dalam melahirkan atlet berpotensi negara pada masa akan datang.

Bagaimana anda melihat pencapaian atlet negara sepanjang tahun 2014?

Kita perlu lihat pencapaian sukan itu secara menyeluruh bukan hanya memandang pada temasya utama. Sebagai contoh jika berjaya di peringkat antarabangsa, tetapi gagal di peringkat bawah itu juga satu kegagalan buat kita. Sebagai contoh ia berlaku dalam sukan skuasy.

Kita kini berdepan masalah untuk mencari pengganti kepada Nicol David dan juga Datuk Lee Chong Wei.

Jika kita tidak mahu perkara ini berlaku kita perlu bertindak namun ia perlukan masa yang panjang, pembabitan semua pihak seperti MSN, Majlis Olimpik Malaysia, Persatuan Sukan Kebangsaan, Majlis Sukan Negeri kerana ia berkait antara satu sama lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Disember 2014 @ 5:02 AM