Zatul Iffah Zolkiply


Dungun: Jenazah bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong, 62, yang ditemukan meninggal dunia di rumahnya di Pandan Indah di Kuala Lumpur selamat dikebumikan malam ini.

Allahyarham yang mula menjawat jawatan Ketua Pengarah MSN sejak 2007 hingga 2014 dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya di sini, jam 10.40 malam.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir terhadap Allahyarham adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham Zolkples dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Seri Petaling di Kuala Lumpur sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Gong Pasir di sini.

Jenazah terlebih dahulu dibawa ke rumah keluarganya di Kampung Gong Pasir di sini bagi membolehkan ahli keluarga dan rakan memberi penghormatan terakhir.

Zolkples yang tinggal bersendirian ditemukan meninggal dunia di kediamannya pagi tadi namun polis mengesahkan tiada unsur jenayah.

Allahyarham pernah menjadi Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia 2010 dan Sukan Paralimpik London 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 11:34 PM
JENAZAH Allahyarham Datuk Seri Zolkples Embong selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya, Kuala Dungun malam ini. FOTO GHAZALI KORI
JENAZAH Allahyarham Datuk Seri Zolkples Embong selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya, Kuala Dungun malam ini. FOTO GHAZALI KORI