Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Keputusan untuk membatalkan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) dan beberapa saingan Piala Presiden dan Piala Belia sebelum ini dibuat berikutan kebanyakan pemain muda masih belum divaksin.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, keputusan yang dibuat FAM wajar dalam memberi keutamaan terhadap keselamatan dan kesihatan pemain.

Menurutnya, beliau sendiri sudah berjumpa dengan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) baru-baru ini selepas dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan bagi membincangkan berhubung perkara itu.

''Saya sudah mendengar penjelasan mereka kenapa keputusan seperti pertandingan seperti Piala Presiden dan Piala Belia dan kini Liga Futsal dibatalkan.

''Ia adalah kerana kebanyakan pemain muda kita belum divaksin dan menerusi program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) ini baru kerajaan hendak bermula, jadi kita hendak memastikan keselamatan, kesihatan pemain kita terlebih dahulu,'' katanya pada sidang media selepas membuat lawatan kerja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia sempena Program Skuad Sukarelawan Rakan Muda Negeri Perak, hari ini.

Ahmad Faizal (dua, kiri) menyempurnakan Pra Pelancaran Perkhidmatan Sains Sukan Berbayar pada Majlis Perhimpunan Mesra Bulanan Kementerian Belia Sukan (KBS) 2022 di Institut Sukan Negara (ISN) hari ini. FOTO Bernama
Ahmad Faizal (dua, kiri) menyempurnakan Pra Pelancaran Perkhidmatan Sains Sukan Berbayar pada Majlis Perhimpunan Mesra Bulanan Kementerian Belia Sukan (KBS) 2022 di Institut Sukan Negara (ISN) hari ini. FOTO Bernama

Beliau berkata demikian apabila ditanya pemberita berkenaan perancangan dari KBS selepas dua tahun MPFL dibatalkan.

Ahmad Faizal berkata, justeru pihaknya bersetuju dengan keputusan yang sudah dibuat FAM yang memberi tumpuan kepada keselamatan dan kesihatan atlet.

Selepas saingan Piala Presiden dan Piala Belia, giliran MPFL pula terpaksa dibatalkan penganjurannya musim ini berikutan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 12:53 PM