FLORIA meraikan kejayaannya. FOTO AFP
FLORIA meraikan kejayaannya. FOTO AFP
AFP

Tokyo: Flora Duffy melakar sejarah di Olimpik apabila memenangi acara triatlon wanita di Tokyo untuk menghadiahkan pingat emas pertama kepada negara kepulauan kecil, Bermuda.

Atlet berusia 33 tahun itu mencatatkan masa 1 jam 55 minit 36 saat untuk menamatkan saingan lebih seminit berbanding atlet Britain, Georgia Taylor-Brown (1:56.50s) manakala wakil Amerika Syarikat (AS), Katie Zaferes meraih gangsa dengan catatan 1:57.03s.

Kejayaan Flora menjadikan Bermuda yang muncul negara paling terkecil dalam konteks populasi dengan anggaran 70,000 penduduk, memenangi pingat emas pertama di Sukan Olimpik.

Bagi Flora, ia adalah kemenangan cukup berharga selepas berdepan kecederaan dan didiagnos masalah anaemia pada 2013.

Dia meninggalkan sukan itu selepas gagal menamatkan acara berkenaan pada Sukan Olimpik Beijing 2008 dan mula bekerja di sebuah kedai di Bermuda sebelum kembali membuat penampilan semula selepas menamatkan pengajian ijazah.

Dalam saingan yang tertangguh selama 15 minit itu berikutan hujan lebat, Flora dilihat mendominasi dalam acara larian di hujung saingan.

Dia mula menjarakkan diri kepada satu minit dan kemudian tidak menerima cabaran selepas itu.

Satu-satunya pingat yang pernah diraih Bermuda di Olimpik adalah menerusi Clarence Hill, iaitu gangsa pada 1976.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 9:40 AM