AKSI Dhabitah pada final hari ini. FOTO Bernama
AKSI Dhabitah pada final hari ini. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Berada di tempat keempat di kalangan penerjun elit dunia adalah perkara yang membanggakan walaupun gagal menghadirkan pingat dalam acara terjun.

Situasi berkenaan sekali gus menyaksikan penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri dijangka membuat penampilan semula pada temasya Olimpik akan datang dengan tampil lebih menyakinkan dan mungkin menghadiahkan kalungan pingat untuk negara.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, penghargaan harus diberikan kepada penerjun berusia 22 tahun itu yang mempamerkan aksi bertenaga dan konsisten ketika final acara 3 meter papan anjal individu wanita, hari ini.

"Bitah (Dhabitah) menamatkan saingan di ranking keempat dengan catatan 326.15 mata. Ini kedudukan yang lebih baik berbanding di peringkat separuh akhir.

"Semestinya ini pencapaian yang patut dibanggakan apabila dapat beraksi antara 12 penerjun terbaik dunia di pentas final Olimpik. The best 4 (kelompok empat terbaik)!

"Dia mungkin tidak menang pingat gangsa, tapi bagi saya dia memenangi hati kita. Buat Bitah, jangan putus asa. Teruskan usaha. Saya yakin Bitah boleh beat (atasi) mereka di kejohanan akan datang," katanya.

Dhabitah mara ke final apabila menamatkan saingan separuh akhir di kedudukan keenam dengan menghimpunkan 312.60 mata selepas melakukan lima terjunan di Pusat Akuatik Tokyo, Jepun, semalam.

Dia berjaya melakukan terjunan lebih baik pada aksi final, hari ini dengan mengumpul 326.15 mata dan bersaing sengit dengan Krysta Palmer sebelum penerjun dari Amerika Syarikat (AS) itu mengesahkan pingat gangsa selepas menghimpun 343.75 mata.

Pingat emas dimenangi juara bertahan dari China, Shi Tingmao yang mencatat 383.50 mata, manakala rakan senegaranya Wang Han meraih perak dengan kutipan mata 348.75.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 8:48 PM