Pasangan China, Xie Siyi dan Wang Zongyuan meraikan kejayaan memenangi emas. FOTO AFP
Pasangan China, Xie Siyi dan Wang Zongyuan meraikan kejayaan memenangi emas. FOTO AFP
AFP

Tokyo: China terselamat daripada tekanan yang diberikan oleh Amerika Syarikat (AS) untuk melakar hatrik emas acara terjun di Olimpik Tokyo hari ini sekali gus memastikan penguasaan mereka dalam sukan itu.

Wang Zongyuan dan Xie Siyi mendahului sejak dari awal hingga penamat untuk menang acara papan ajal seirama 3 meter (m) lelaki dengan mata 467.82 keseluruhan.

Pingat perak menjadi milik pasang AS, Andrew Capobianco dan Michael Hixon (444.36 mata) dan wakil Jerman, Patrick Hausding dan Lars Rudiger memenangi gangsa (404.73 mata).

Aksi mengecewakan dipamerkan bekas juara Britain, yang menamatkan saingan di kedudukan tercorot, sementara wakil Rusia memberi tentangan sengit memburu pingat gangsa sebelum gagal dalam terjunan terakhir untuk berada di tempat terakhir.

Pungutan mata diperoleh Zongyuan dan Siyi membolehkan mereka mengatasi saingan sengit daripada peserta AS yang turut mempamerkan aksi konsisten.

Mereka dipaksa untuk menanti hingga terjunan terakhir sebelum merangkul emas.

Pasukan terjun China - diberi gelaran "Dream Team" di negara mereka - hadir ke ibu kota Jepun dengan harapan mempamerkan aksi lebih baik berbanding Rio 2016 dan memenangi kesemua lapan pingat emas.

Bagaimanapun, cita-cita mereka dihampakan hanya pada hari kedua apabila pasangan Britain, Tom Daley dan Matty Lee mengambil kesempatan kesilapan pasangan penerjun China untuk memenangi mahkota 10m terjun seirama lelaki.

Empat lagi emas dalam acara terjun masih menjadi rebutan di Tokyo.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 9:28 PM