Pemain tenis dari Jepun, Naomi Osaka. FOTO AFP
Pemain tenis dari Jepun, Naomi Osaka. FOTO AFP
Agensi

Los Angeles: Naomi Osaka berkata peningkatan kes Covid-19 di Tokyo mencetuskan kebimbangan ramai dan dia sendiri tidak pasti sama ada Sukan Olimpik harus diteruskan pada musim panas ini.

Tokyo berada dalam tempoh darurat bagi membendung kes penularan itu, 10 minggu sebelum permulaan temasya yang dijadualkan semula pada 23 Julai ini.

Naomi pemain tenis nombor dua dunia dari Jepun, mungkin melakukan penampilan pertama di Olimpik Tokyo.

"Saya seorang atlet dan sudah pasti fikiran saya adalah mahu beraksi di Olimpik," katanya.

"Tapi sebagai seorang manusia, saya mahu katakan kami dalam situasi pandemik dan jika masyarakat tidak sihat dan jika mereka tidak berasa selamat, jadi ia sememangnya perkara yang harus diberikan keutamaan."

Apabila ditanya oleh BBC Sport jika dia bersetuju dengan penganjuran temasya Olimpik dalam tempoh pandemik, pemain berusia 23 tahun itu berkata: "Secara jujur, saya sendiri tidak pasti."

Sukan Olimpik dijangka berlangsung tanpa peminat antarabangsa, sementara keputusan untuk membenarkan peminat tempatan menghadiri acara sukan itu hanya diketahui Jun ini.

"Saya tidak pernah beraksi di Olimpik, sememangnya saya sentiasa menantikan peluang itu," kata juara empat kali Grand Slam itu.

"Saya pastinya berasa sedikit kecewa jika ia tidak dapat diadakan. Dari satu sudut sudah pasti satu bangga untuk beraksi di Olimpik dan jika ia dapat mengekalkan kesihatan masyarakat jadi saya juga setuju [beraksi secara tertutup]."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 1:17 PM