NAOMI menyalakan Kawah Obor Olimpik menggunakan obor pada upacara pembukaan Sukan Olimpik Tokyo 2020, malam ini. FOTO AFP
NAOMI menyalakan Kawah Obor Olimpik menggunakan obor pada upacara pembukaan Sukan Olimpik Tokyo 2020, malam ini. FOTO AFP
AFP

Tokyo: Bintang tenis Jepun, Naomi Osaka menyalakan Kawah Obor Olimpik Tokyo 2020, malam tadi, selepas temasya itu tertangguh selama setahun akibat Covid-19.

Naomi sebelum ini menerima obor Olimpik daripada kumpulan enam kanak-kanak berasal dari Fukushima yang dilanda tsunami dan tragedi nuklear pada 2011.

Kawah obor itu turut mempunyai simbolik Gunung Fuji dan acara berkenaan adalah kemuncak upacara pembukaan yang suram akibat wabak berkenaan.

Maharaja Jepun, Naruhito merasmikan upacara pembukaan Tokyo 2020 di Stadium Olimpik yang hampir kosong selepas penganjur melarang kehadiran penyokong.

"Saya merasmikan pembukaan Sukan Olimpik Tokyo," katanya sambil memakai pelitup muka putih di stadium yang mampu memuatkan 68,000 orang itu.

Seramai 5,700 atlet, jauh lebih rendah berbanding kebiasaan berada di stadium itu dan mereka bukan saja mengamalkan penjarakan fizikal, malah turun memakai pelitup muka.

Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach mengesahkan Tokyo 2020 sebagai sesuatu yang cukup berbeza berbanding apa yang dibayangkan.

"Tetapi, hari ini adalah detik yang memberikan harapan," katanya dalam ucapan.

Pada temasya 16 hari itu, 339 pingat emas membabit 33 sukan dipertandingkan dan ia menjadi kejohanan pertama tanpa kehadiran penonton.

Atlet akan menjalani ujian saringan setiap hari, tetapi mereka berdepan risiko impian di Olimpik musnah sekiranya didapati positif Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 11:29 PM