KIPCHOGE  guna kasut berteknologi tinggi ketika sertai acara maraton. FOTO AFP
KIPCHOGE guna kasut berteknologi tinggi ketika sertai acara maraton. FOTO AFP
Agensi

London: Atlet yang memakai kasut larian berteknologi tinggi boleh dianggap menipu dan penggunaannya hampir sama dengan doping, menurut bekas pemegang rekod dunia acara maraton, Tegla Loroupe.

Kasut 'canggih' itu semakin mendapat perhatian selepas beberapa rekod dunia dalam acara larian dicatatkan sejak beberapa tahun lalu.

Kritikan mula timbul dengan dakwaan kasut itu mencetuskan persaingan tidak adil dan Tegla yang berasal dari Kenya berpendapat ia perlu diharamkan.

"Saya bukan peminat kasut itu kerana tidak terdapat tenaga manusia," katanya.

"Jika anda menipu, anda bukanlah wira kerana anda tidak menggunakan kekuatan sendiri. Anda boleh memakai kasut yang pantas tetapi bagaimana dengan mereka yang tidak mampu. Ia hampir seperti doping. Bagi saya tiada bezanya doping dengan memakai kasut yang membuatkan anda berlari lebih laju."

Pada Mac lalu, pelari maraton Wales, Dewi Griffiths berkata kecanggihan dalam teknologi kasut itu memberikan atlet 'masa bebas' ketika perlumbaan.

Pada 2020, World Athletics memperketatkan peraturan ke atas kasut teknologi tinggi termasuk penggunaan Nike 'Alphafly' yang dipakai Eliud Kipchoge selepas dia muncul atlet pertama mencatat masa kurang dua jam pada Oktober 2019.

Bekas pelari maraton Britain, Mara Yamauchi sebelum ini berkata kepada BBC, 'kami tidak lagi nikmati persaingan yang adil."

Tegla yang akan menjadi ketua kontinjen di Sukan Olimpik Tokyo berkata: "Bagi saya kasut seperti itu perlu diharamkan, jadi atlet akan lebih percaya diri sendiri.''

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 1:37 PM