Shamran Sarahan

Malaga: Pelari jarak jauh negara, Muhaizar Mohamad memburu tonik berharga pada aksi Meta: Time: Trials di sini, sebagai persiapan terakhir menjelang temasya Sukan Sea Hanoi di Vietnam, Mei depan.

Pemenang pingat gangsa bagi acara maraton dalam dua temasya Sukan Sea di Kuala Lumpur dan Filipina itu berkata, dia mahu memanfaatkan peluang berlatih dengan atlet elit antarabangsa pada program anjuran Asics itu sebagai motivasi memperbaiki prestasi lariannya.

"Ramai atlet dunia beraksi pada program (Meta: Time: Trials) ini untuk menguji catatan terbaik mereka, bahkan ada yang mahu memecahkan rekod kebangsaan negara masing-masing.

"Program ini tidak kurang tiga minggu sebelum saya menyertai (acara maraton) Sukan Sea (Hanoi), jadi ia akan menjadi satu peluang yang bagus bagi menyaksikan di mana saya berada dan apakah yang perlu diperbaiki lagi," katanya ketika ditemui pada prapelancaran program itu, semalam.

Program itu yang secara rasmi berlangsung hari ini menyaksikan 82 atlet terbaik dunia mengikuti acara larian lima kilometer (km), 10km dan 21km untuk menguji catatan rekod terbaik mereka, dengan penggunaan kasut larian berteknologi keluaran Asics, Metaspeed.

Antara atlet jarak jauh ternama menyertai program itu ialah Koen Naert (Belgium), Yeshi Kalayu (Ethiopia), Boniface Kibiwott (Kenya), Vicotyu Chepngeno (Kenya), Mohamed Khatir (Spain) dan Eilish McColgan (United Kingdom).

 MUHAIZAR menjalani latihan bersama pelari antarabangsa menjelang aksi Meta: Time: Trials di Malga, Sepanyol. -FOTO Ihsan ArenaMalaysia Asia
MUHAIZAR menjalani latihan bersama pelari antarabangsa menjelang aksi Meta: Time: Trials di Malga, Sepanyol. -FOTO Ihsan ArenaMalaysia Asia

Mengenai pembabitan dalam aksi Meta: Time: Trials, Muhaizar berkata, pada mulanya dia terfikir untuk menyertai larian 21km, namun menukar pendirian pada saat akhir untuk sekadar menjadi 'pacer' bagi larian 10km wanita.

"Apabila memikirkan persiapan untuk Sukan Sea, saya berasakan lebih baik saya menjadi 'pacer' bagi larian 10km wanita.

"Ini kerana, daripada situ saya akan dapat menjalani latihan dan pendedahan bersama atlet hebat, seperti Julien Wanders (pemegang rekod larian 10km lelaki Eropah) yang turut sama menjadi 'pacer' bagi acara itu," katanya.

Menerusi program itu juga, Muhaizar berkata, dia dapat menjalani latihan interval dengan atlet hebat jarak jauh dengan kadar kelajuan yang berbeza dan intensiti tinggi.

"Asics turut banyak memberi sokongan dan kerjasama kepada saya, terutama dengan penggunaan kasut berteknologi tinggi keluaran mereka, Metaspeed yang dapat mempengaruhi prestasi larian.

"Larian jarak jauh ini bukan saja memerlukan bakat dan keupayaan saja, sebaliknya sains sukan penting untuk meningkatkan prestasi larian, sebagaimana dipraktikkan atlet elit di peringkat antarabangsa," katanya.

Pada 2017, Muhaizar menamatkan kemarau 44 tahun negara apabila menaiki podium acara maraton Sukan Sea dengan memenangi gangsa selepas melengkapkan larian dalam tempoh dua jam, 31 minit dan 52 saat.

Catatan terbaik pelari berasal dari Gurun, Kedah dalam acara itu direkodkan pada Berlin Marathon 2018 dengan catatan masa dua jam, 26 minit dan 21 saat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2022 @ 2:04 PM