BOLT juga cedera  akibat  penggunaan otot yang  ‘overdose’.
BOLT juga cedera akibat penggunaan otot yang ‘overdose’.
PAULA (tengah) ditenangkan rakan selepas   cedera   di Olimpik   2004.
PAULA (tengah) ditenangkan rakan selepas cedera di Olimpik 2004.
Nor Hairulnizam Wahid


Jaguh maraton wanita Britain Paula Radcliffe terpaksa menamatkan kariernya pada 2015 tanpa sebarang gelaran di pentas Olimpik berikutan kecederaan kaki.

Malah, jaguh pecut dunia Usain Bolt sendiri tidak terlepas daripada kecederaan hamstring yang hampir saja menjejaskan kariernya.

Senario mengalami kecederaan itu situasi biasa bagi pelari termasuk yang bertaraf profesional, tidak kira sama ada mereka menyertai acara maraton atau pecut. Justeru, kecederaan sewaktu berlari itu tidak mustahil berlaku kepada semua.

“Menurut kajian, antara 65 hingga 75 peratus pelari mengalami kecederaan setiap tahun,” kata Pakar Perubatan Sukan Pusat Sukan Prestasi Tinggi Bahagian Podium Institut Sukan Negara (ISN) Dr Azril Syazwan Mohd Ali.

“Perkara ini berlaku kerana disebabkan penggunaan berlebihan (overuse) yang berpunca daripada biomekanik larian dan faktor luaran yang tidak sesuai, termasuk postur badan.”

Lima kecederaan dialami pelari tertumpu pada bahagian kaki adalah Sindrom ITB (ilitolial band), Runner’s Knee, Shin Splints, keradangan tendon Achilles dan keradangan tisu tapak kaki (Plantar fascilitis).

ITB menurut Dr Azril adalah struktur seperti ligamen pada sisi luar paha yang menghubungkan pinggul dengan tulang betis dan apabila berlari, ITB akan bergesel di atas permukaan tulang dan membantu menstabilkan pergerakan.

“Namun, apabila seseorang itu mempunyai biomekanik larian yang kurang sempurna, ketidakseimbangan otot, peningkatan berat badan dan berlari di kawasan berbukit, ITB boleh tersasar dan menambah daya geseran hingga menghasilkan bunyi ‘klik’ ketika membengkokkan lutut,” katanya.

Runner’s Knee pula berlaku disebabkan otot paha lemah. Jelas Dr Azril, sewaktu berlari otot paha yang memegang tempurung lutut akan menyebabkan tempurung lutut bergerak dari atas ke bawah sewaktu membengkokkan lutut.

“Namun, apabila otot paha tidak kuat, tempurung lutut akan bergerak dari kiri ke kanan hingga menyebabkan gangguan dan geseran pada permukaan rawan di bawah tempurung lutut dan ia boleh menyebabkan rasa sakit dan panas di kawasan lutut yang dikenali sebagai chondromalacia,” katanya.

Shin splints pula merujuk kepada penggunaan tisu berlebihan di mana otot terjejas dipanggil tibialis anterior yang menghubungkan bahagian lutut dan pergelangan kaki.

“Mengenakan kasut yang salah, berlari dalam biomekanik kurang sempurna boleh membawa kepada sindrom compartment. Apabila kawasan itu membengkak, ia akan menjejaskan aliran darah seterusnya memerlukan rawatan, mungkin pembedahan kecil untuk mengurangkan tekanan di kawasan terbabit,” katanya.

“Keradangan tendon Achilles adalah masalah biasa berlaku di kawasan tumit yang mengalami kesakitan apabila memijak pada keesokan pagi selepas larian. Ia berpunca daripada peningkatan beban larian mendadak seperti larian bukit dan pecutan.”

“Keradangan tisu tapak kaki (plantar fascilitis) pula berlaku apabila berlaku koyakan mikro di kawasan terbabit. Ia mungkin disebabkan penggunaan kasut dan latihan tak sesuai jadi atlet disarankan perlu berehat dan lakukan regangan untuk meningkatkan kelenturan bahagian yang koyak.”

Justeru untuk mendapatkan larian sempurna dan mengurangkan kecederaan, jelas Dr Azril, adalah penting untuk memastikan tubuh berada dalam postur terbaik.

“Ini bermaksud anda perlu mengekalkan keadaan yang tegak, tidak melengkungkan badan dan sentiasa memastikan kepala berada pada paras melebihi bahu ketika berlari,” katanya.

“Ia penting kerana postur badan yang kurang sempurna akan meningkatkan beban secara berlebihan pada belakang dan lutut, sekali gus mendorong anda untuk cenderung melakukan ‘overstriding’, satu keadaan di mana kaki melangkah jauh ke depan daripada lutut ketika berlari dan akhirnya boleh menyebabkan simptom kecederaan.”

Oleh itu, mereka yang melakukan aktiviti larian disarankan menguatkan bahagian otot teras dan atas badan.

Namun ramai yang tersilap anggapan mengenai faedah didapati daripada aktiviti berlari yang dikatakan mampu menguatkan otot sehingga ramai yang melakukannya secara ‘berlebihan’ (mengeraskan otot ketika berlari) dan perkara itu turut diakui Dr Azril sendiri.

“Ramai yang salah faham mengapa dia berlari, ia bukan latihan untuk menguatkan otot. Sasaran berlari hanya untuk kardiovaskular, itu saja. Jika anda mahu puas berlari, anda perlu kuat dan untuk mendapatkan kekuatan itu anda perlu bersenam pada sesi berasingan.

“Apabila anda mengeraskan otot sewaktu berlari, ia menunjukkan anda tidak kuat dan boleh menyebabkan kesakitan. Perkara itu menyebabkan anda tidak dapat meneruskan larian, jadi sudah tentu tiada kepuasan.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2016 @ 10:10 AM