SOH Wai Ching. FOTO IG mastowerrunner
SOH Wai Ching. FOTO IG mastowerrunner
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Jaguh larian menara negara, Soh Wai Ching melakukannya sekali lagi. Kali ini dia muncul juara keseluruhan dalam acara separuh maraton Spartan Trail pada Kejohanan Spartan Dunia 2021 di Liwa, Abu Dhabi lewat malam tadi.

"Dapat trofi 'triangle' pertama saya daripada Spartan. Terima kasih kepada setiap orang kerana sokongan anda, terima kasih juga kepada @abudhabisc dan @spartan kerana menganjurkan acara ini. Pastinya ini satu pengalaman sekali seumur hidup berlari di gurun dan saya bangga berjaya melakukannya akhirnya.

"Perlumbaan ini hampir membunuh saya. Beberapa kilometer terakhir amat menyeksakan. Saya pula tidak membawa sebarang beg hidrasi berbanding pelari lain apatah lagi perlumbaan bermula jam 12.30 tengah hari dalam cuaca panas terik," tulisnya dalam hantaran terbaharu di laman Instagram.

Wai Ching, 27, yang membanggakan negara apabila menjuarai perlumbaan berprestij Empire State Building Run-up (ESBRU) di New York bulan lalu, seperti biasa menggunakan taktik pecut dari awal dan ia ternyata membuahkan hasil sekali lagi.

"Saya bekerja keras dari awal dan berlari dengan kasut khas yang mempunyai 'gaiter' di atasnya memang memberikan perbezaan besar. Tanpa 'gaiter' pasir akan memenuhi kasut anda dan ia kemudiannya menjadi sangat berat sekali gus menyukarkan anda melakukan larian terbaik.

"Saya memecut dari awal dan menjarakkan diri jauh di depan dan semuanya secara bersendirian sehingga tamat. Rentak yang laju dari mula hingga ke stesen air pertama pada jarak 4.7km. Kaki kanan saya melecet selepas itu tapi saya memutuskan untuk tidak menghiraukannya kerana saya tidak mempunyai pilihan selain meneruskan perlumbaan hingga ke penamat," katanya yang menang dengan catatan masa 3 jam 2 minit 58 saat.

Wai Ching berkata, pada awalnya dia menjangkakan larian separuh maraton itu diadakan dengan jarak biasa 21km tetapi penganjur sebaliknya menyatakan larian itu perlu ditamatkan dengan jarak 24km.

Pelari berasal dari Selayang itu menjuarai perlumbaan Spartan Trail 10km di Hatta, Dubai dua minggu lalu selain menyertai larian 5km Ekspo Dubai 2020 sehari sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 7:09 PM