KOK Leong meraih pencapaian amat membanggakan. FOTO MSBF
KOK Leong meraih pencapaian amat membanggakan. FOTO MSBF
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Sukan snuker terus mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa dan terkini melalui Lim Kok Leong yang berjaya muncul juara Kejohanan Snuker Amatur Dunia di Antalya, Turki.

Menurut Timbalan Presiden Persekutuan Snuker dan Billiards Malaysia (MSBF) Datuk Mohamed Anis Hisham Abdul Aziz, pencapaian Kok Leong itu amat membanggakan MSBF dan juga rakyat Malaysia.

"Kejayaan ini cukup manis terutamanya selepas Kok Leong bersama Moh Keen Hoo muncul juara Kejohanan Snuker Berpasukan Dunia di Kuala Lumpur Oktober lalu," katanya, sambil mengharapkan lebih banyak kejayaan dicapai pemain snuker dan billiard Malaysia selepas ini.

Pemain berusia 27 tahun itu mengatasi pencabar dari Iran, Amir Sarkosh pada perlawanan akhir dengan kemenangan 5-0 (68-63, 67-42, 78-0, 80-7, 73-54).

Pada separuh akhir, dia berjaya mengetepikan cabaran pemain Pakistan, Babar Masih 5-3, manakala di suku akhir, pula menumbangkan wakil Poland, Antoni Kowalski 4-2.

Pencapaian Kok Leong yang juga pemenang pingat emas di Sukan Sea Hanoi, adalah paling tinggi dicapai rakyat Malaysia dalam sukan Snuker.

Sebelum ini, tiga pemain snuker negara pernah melangkah ke suku akhir Kejohanan Dunia iaitu Yong Kien Foot (Malta, 1992), Sam Chong (England, 1995) dan Keen Hoo (Syria, 2010).

Kok Leong sangat gembira dengan pencapaian itu selepas cemerlang di Sukan Sea tahun ini dengan meraih emas dalam acara perseorangan lelaki 6-red.

Di temasya itu juga dia meraih satu perak dalam acara perseorangan lelaki selepas tumpas kepada jaguh Thailan, James Wattana di final.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 4:36 PM