Gudaf Tsegay atasi pencabar lain dalam 1500m di Lievin. FOTO Agensi
Gudaf Tsegay atasi pencabar lain dalam 1500m di Lievin. FOTO Agensi
AFP

Lievin, Perancis: Gudaf Tsegay berjaya memecah rekod wanita dunia bagi acara larian 1500 meter dalam dewan pada satu persaingan di Lievin hari ini, selepas mencatat tiga minit 53.09 saat.

Gudaf dari Habsyah mengatasi dua saat daripada rekod sebelumnya yang dilakukan oleh rakan senegaranya, Genzebe Dibaba di Karlsruhe pada 2014.

Atlet Amerika Syarikat, Grant Holloway muncul antara pelari kedua terpantas dalam acara lari berpagar 60m lelaki dengan mencatat 7.32s untuk membolehkan dia mengekori catat rekod dunia Colin Jackson 7.30s pada 1994.

"Saya tidak begitu terkejut. Saya berusaha untuk melakukannya. Saya harus meneruskan pencapaian ini dan kekal konsisten dengan catatan bawah 7.40s," kata Holloway yang juga juara bertahan lari 110m berpagar dunia.

Getnet Wale dari Habsyah hanya melebihi 0.08s untuk mencatat rekod dalam dewan bagi acara larian 3000m lelaki dengan melakukan catatan tujuh minit 24.98s membayangi catatan Daniel Komen pada 1998.

Jakob Ingebrigtsen menang acara 1500m lelaki dalam masa tiga minit 31.80s, iaitu yang kelima terpantas dalam sejarah dalam dewan dan rekod baharu Eropah.

"Saya sentiasa mahu berlari dengan pantas tetapi ia adalah perlumbaan pertama saya pada 2021.. hari ini ia agak mudah," kata atlet Norway itu.

Armand Duplantis memenangi saingan lompat bergalah lelaki dengan catatan 5.86m, atlet Sweden itu bagaimanapun gagal mengekalkan pencapaian hujung minggu lalu di Rouen apabila dia menguasai catatan dengan 6.03m.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 10:47 AM