Jakob Ingebrigtsen cipta rekod dunia acara larian 1500m di Lievin. FOTO Ihsan Twitter WorldAthletics
Jakob Ingebrigtsen cipta rekod dunia acara larian 1500m di Lievin. FOTO Ihsan Twitter WorldAthletics
AFP

Lievin, Perancis: Juara Olimpik, Jakob Ingebrigtsen memecah rekod dalam dewan dunia bagi acara larian 1500 meter (m) apabila mencatat tiga minit 30.60 saat (s) dekat Lievin bahagian utara Perancis, awal pagi ini.

Atlet Norway itu mengatasi 0.46s daripada rekod yang dicatat tiga tahun lalu oleh atlet Habsyah, Samuel Tefera. Tefera menduduki tempat kedua di kejohanan itu dengan 3:33.70s.

Ia adalah rekod dunia pertama dicipta Ingebrigtsen yang berusia 21 tahun.

Seorang lagi juara Olimpik, Marcell Jacobs mengungguli acara 60m.

Atlet Itali itu menamatkan larian dengan 6.50s mengatasi wakil Amerika Syarikat (AS), Cravont Charleston (6.52s) dan Elijah Hall (6.57s).

Bagi Jacobs, yang melakukan persediaan untuk Kejohanan Dalam Dewan Dunia dekat Belgrade pada Mac depan, ia adalah perlumbaan ketiganya selepas melakukan kejutan dengan memenangi emas acara pecut 100m dan 4x100m berganti-ganti di Tokyo pada Ogos lalu.

Dia agak perlahan daripada catatan masa dilakukan di Lodz, Poland, Jumaat lalu.

Grant Holloway dari AS menguasai acara 60m lari berpagar menang dengan 7.35s.

Atlet Perancis, Pascal Martinot-Lagarde kedua dengan 7.46s manakala seorang lagi atlet AS, Jared Eaton ketiga 7.51s.

Holloway pemegang rekod dunia dengan catatan 7.29s, juga menduduki tempat kedua bagi aksi terbaik sepanjang zaman dalam 110m berpagar dengan 12.81s.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 10:11 AM