SEI Young berjaya mendahului saingan pada hari ketiga Tour Championship LPGA. FOTO AFP
SEI Young berjaya mendahului saingan pada hari ketiga Tour Championship LPGA. FOTO AFP
AFP

Miami: Pemain nombor dua dunia, Kim Sei Young mencatat enam birdie untuk melakukan lima di bawah par 67 bagi membolehkannya mendahului satu pukulan mengatasi rakan senegara Ko Jin Young di Tour Championship LPGA.

Sei Young, yang memburu kejuaraan penutup tirai dua kali berturut-turut di Tiburon Golf Club di Naples, Florida, melakukan penutup goyah namun tidak menghalangnya untuk mendahului dengan mengumpul 13 di bawah par 203.

"Masih ada lagi perkara positif," kata Sei Young, yang memulakan aksi ketinggalan satu pukulan di belakang pemain nombor satu dunia Jin Young sebelum kedua-dua terikat apabila dia membenam birdie di lubang kedua, kelima dan ketujuh.

Dia melakukan perkara sama pada lubang ke-10, 11 dan 13, sebelum pukulannya di lubang ke-17 sedikit tersasar ke sebelah kanan.

Sei Young terpaksa berusaha keras untuk kembali berada di laluan fairway sebelum berjaya menyamai par.

"Saya sebenarnya agak bimbang mengenai pukulan ke sebelah kiri, jadi saya cuba untuk membawa bola ke sebelah kanan dan disebabkan itulah ia sedikit kelam-kabut. Bagaimanapun, ia masih lagi selamat, saya bernasib baik," katanya.

Sei Young menutup aksi dengan melakukan bogey di lubang ke-18 apabila pukulan lambung yang dilakukannya sedikit tersasar untuk merapati lubang.

Jin Young pula menutup aksi dengan melakukan dua kali putt pada lubang terakhir bagi membolehkannya menyamai par dan menamatkan saingan bebas bogey untuk mencatat tiga di bahawa par 69 (204).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2020 @ 2:43 PM