MEGAT Sany (tengah) bersama pasukan hoki KPT-UNITEN Thunder. FOTO KPT
MEGAT Sany (tengah) bersama pasukan hoki KPT-UNITEN Thunder. FOTO KPT
Zulkarnain Azman


Putrajaya: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bakal menghantar sebanyak empat pasukan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) ke kejohanan peringkat kebangsaan membabitkan beberapa sukan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian berkata, pasukan yang terlibat adalah KPT-PST Mustangs (futsal), Malaysia University Football Team (bola sepak), KPT-UNITEN Thunder (hoki wanita) dan KPT-MASUM Knights (sepak takraw).

Jelas Megat Sany, beliau percaya setiap pasukan itu berkemampuan untuk mencapai sasaran yang diletakkan kepada mereka berdasarkan kepada prestasi semasa dan juga persediaan rapi yang sudah dilaksanakan.

"Bagi pihak KPT, saya sentiasa memberi sokongan penuh kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung di dalam usaha kita untuk menjadi yang terbaik di dalam setiap liga yang disertai.

"Kejayaan pasukan-pasukan ini juga nanti akan menjadi satu penanda aras yang tinggi kepada pasukan IPT negara yang akan bersaing di Asean Universiti Games 2024 di Surabaya dan juga kejohanan-kejohanan bertaraf antarabangsa yang lain.

"Kementerian amat berharap agar semua atlet dapat mempamerkan semangat juang yang tinggi dan berusaha dengan bersungguh-sungguh di dalam merealisasikan yang telah ditetapkan. Selamat berjuang kepada semua," katanya pada majlis pengenalan pasukan IPT ke kejohanan kebangsaan.

Dalam masa Megat Sany turut meletakkan beberapa sasaran untuk dicapai bagi setiap penyertaan pasukan IPT di Liga Kebangsaan.

"Pasukan hoki wanita KPT-UNITEN Thunder kita meletakkan sasaran untuk menjuarai Liga Hoki Wanita Kebangsaan 2023 dan juga mengekalkan kejuaraan Piala Vivian May Soars.

"Selain itu, untuk pasukan sepak takraw KPT- \MASUM Knight kita meletakkan sasaran untuk menjadi empat pasukan terbaik STL 2023 manakala pasukan futsal lelaki KPT-PST Mustangs kami menyasarkan mereka untuk layak beraksi di Piala Futsal Malaysia.

"Bagi pasukan bola sepak Malaysian Universiti Football Team (MUFT) kita mahu mereka untuk jadi empat pasukan terbaik M3 2023 dan layak ke pusingan kedua," ujarnya.

Selain memperkenalkan empat pasukan berkenaan, pada majlis berkenaan KPT turut melancarkan sebanyak lima penerbitan buku dan manual Seksyen Sukan iaitu buku Pengurusan Acara Sukan Dimensi Baharu, Kritikal dan Progresif, Manual Pengurusan Media Program Sukan Utama Kementerian Pengajian Tinggi, Garis Panduan Pengurusan Acara Bagi Penganjuran Program Sukan Utama Kementerian Pengajian Tinggi, U-Olimpian Dari Menara Gading Ke Olimpik Tokyo dan Sepantas Kilat (Projek B10 Projek Larian 100 meter Bawah 10 Saat).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 6:38 PM