SKUAD hoki negara sebelum menentang Pakistan. FOTO FIH
SKUAD hoki negara sebelum menentang Pakistan. FOTO FIH
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Rombakan perlu dilakukan terhadap skuad hoki lelaki negara bagi membolehkan Malaysia memperoleh skuad lebih segar dan berdaya saing untuk menghadapi satu lagi kitaran kelayakan bagi Sukan Olimpik 2028 selepas gagal pada kempen kelayakan 2024 di Muscat, Oman ketika ini.

Bekas pemain dan juga kapten skuad negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata, langkah itu perlu dilakukan kerana jika beberapa barisan pemain sedia ada dikekalkan, maka tidak ada sebarang perubahan empat tahun daripada sekarang.

Tidak menuding jari kepada mana-mana individu, Nor Saiful berkata, skuad negara yang beraksi pada kempen kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 di Muscat, Oman ketika ini hakikatnya tidak mempunyai keupayaan untuk layak ke temasya sukan terbesar dunia itu.

"Jadi pada saya kita bukan dalam kelompok 12 pasukan yang memang layak beraksi di Olimpik, kita pasukan di luar kelompok 12 yang cuba dapatkan peluang untuk masuk ke dalam 12 pasukan terbaik.

"Permainan hoki sudah berubah dan pasukan negara dilihat tak dapat tandingi beberapa pasukan seperti Australia apatah lagi kebanyakan pasukan Eropah.

"Negara Asia lain seperti Pakistan, Korea dan Jepun juga bergelut apabila bertemu pasukan Eropah. Jadi jawapannya ialah kita perlu mempunyai standard yang sama dengan mereka.

"Anda bercakap mengenai apa seterusnya, sudah pastinya pasukan ini perlu dirombak. Kemudian kalau anda lakukan latihan yang sama, tiada perubahan. Kita perlu (lakukan perubahan) sama dengan apa yang berlaku di dalam pasukan Eropah.

"Jadi untuk tempoh empat tahun daripada sekarang, anda kena rancang siapa pemain yang masih boleh bermain serta yang tak boleh bermain lagi. Anda perlu ketepikan pemain dan ambil pemain baharu untuk rombak pasukan," katanya ketika dihubungi.

Seorang lagi bekas pemain negara, Mohamad Abdul Hadi turut mempunyai pandangan sama dan berharap sesuatu yang lebih drastik perlu dilakukan.

"Kita kena buat sesuatu yang lebih drastik, maksudnya formula yang kita guna pada masa sekarang kurang berjaya dan sekarang kita perlu wujudkan jawatankuasa yang terdiri daripada pelbagai latar belakang untuk memberi cadangan mereka.

"Perlu terima hakikat bahawa pasukan ini gagal kerana kita tidak layak ke Olimpik," katanya.

Skuad Speedy Tigers gagal mara ke separuh akhir kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 apabila hanya seri 3-3 dengan Pakistan pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A awal pagi tadi sekali gus menamatkan saingan di kedudukan tercorot dengan satu mata.

Episod duka itu terpaksa ditelan sekali lagi dengan kali terakhir Malaysia layak beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu pada edisi 2000 di Sydney, Australia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2024 @ 6:37 PM