MIRNAWAN (depan, enam dari kanan) bersama skuad hoki lelaki negara di Sukan Asia Hangzhou, China, baru-baru ini. FOTO FB MIRNAWAN NAWAWI
MIRNAWAN (depan, enam dari kanan) bersama skuad hoki lelaki negara di Sukan Asia Hangzhou, China, baru-baru ini. FOTO FB MIRNAWAN NAWAWI
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Keputusan memeritkan ketika bertemu Pakistan dan China di Sukan Asia Hangzhou, baru-baru ini. dilihat memberi hikmah kepada skuad hoki lelaki negara pada kempen kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024.

Ini kerana, selain Great Britain, skuad negara akan bertemu kedua-dua pasukan itu semula pada kempen kelayakan selepas diletakkan dalam Kumpulan A, sekali gus berpeluang untuk membalas dendam kekalahan di Sukan Asia.

Pengurus pasukan, Datuk Mirnawan Nawawi berkata, setiap kempen kelayakan sememangnya sukar, namun beliau menegaskan kempen kelayakan yang akan berlangsung di Muscat, Oman dari 15 hingga 21 Januari 2024 depan dilihat memberi kelebihan kepada skuad negara.

"Setiap kempen kelayakan sememangnya mencabar sebab semua pasukan menyimpan hasrat sama untuk layak ke Olimpik.

"Kelebihan kepada kita ialah lawan akan ditemui nanti iaitu Pakistan dan China, kita sudah tahu kelemahan dan kekuatan mereka.

"Tewas kepada Pakistan dan seri dengan China di Sukan Asia sudah cukup untuk kita agar tidak mengulangi kesilapan sama," katanya ketika dihubungi.

Jelas Mirnawan, skuad negara akan mengambil pendekatan fokus kepada setiap perlawanan terlebih dahulu dengan sasaran utama untuk berada dalam kedudukan dua teratas kumpulan.

"Kita akan melakukan analisis terperinci mengenai lawan di Oman nanti untuk melihat dengan lebih teliti kekuatan dan kelemahan mereka.

"Jangan pandang mudah keupayaan lawan dan sentiasa fokus di setiap perlawanan," katanya yang pernah beraksi sebanyak tiga kali di Sukan Olimpik.

Skuad negara perlu menduduki dua tangga teratas peringkat kumpulan untuk melayakkan diri ke saingan separuh akhir yang boleh dianggap sebelah kaki ke Paris 2024.

Jika menang dengan lawan dari Kumpulan B, slot ke Olimpik sudah terjamin, namun jika tumpas di separuh akhir, pasukan bimbingan A Arulselvaraj tidak ada pilihan lain selain wajib memenangi aksi penentuan tempat ketiga/keempat untuk menamatkan penantian 24 tahun ke temasya berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 5:43 PM