SKUAD hoki kebangsaan gagal tamat kemarau 24 tahun beraksi di pentas Olimpik.
SKUAD hoki kebangsaan gagal tamat kemarau 24 tahun beraksi di pentas Olimpik.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pengurusan tertinggi Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kegagalan skuad lelaki negara menamatkan kemarau 24 tahun beraksi di pentas Sukan Olimpik, menurut legenda Datuk Seri N Sri Shanmuganathan.

Bekas Olympian negara itu berkata ini termasuk melakukan perubahan besar-besaran dalam organisasi dengan memberi laluan kepada barisan kepimpinan baharu yang mempunyai idea segar untuk diketengahkan bagi kembali mengangkat martabat arena hoki negara.

Menurut Shanmuganathan, ketua pasukan Malaysia ketika menghuni tempat keempat Piala Dunia Hoki 1975 di tanah air, adalah penting bagi mereka yang mengetahui selok-belok sukan itu mengetuai badan induk itu bagi memastikan sebarang keputusan dibuat akan sentiasa mengikut peraturan dan peredaran masa.

"Saya rasa pihak pengurusan perlu bertanggungjawab sepenuhnya dan dengan berbesar hati melepaskan jawatan mereka supaya pasukan baharu boleh mengambil tempat dan membawa Malaysia ke hadapan.

"Saya rasa idea (pengurusan semasa) masih belum berjaya, jadi kita memerlukan pasukan baharu untuk mencipta idea baharu. Sepanjang perjalanan ke Olimpik ini, saya hanya membisu...kerana kita tidak mahu menggugat kestabilan, betul?

"Tetapi apabila melihat apa yang berlaku di sini, keputusan menunjukkan seolah-olah kita bersalah kerana tidak memberitahu MHC bahawa kita sedang bergerak dalam arah yang salah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Shanmuganathan yang pernah beraksi tiga kali di pentas Olimpik iaitu pada edisi 1968, 1972 dan 1976, berpendapat menghantar pasukan negara menyertai siri jelajah persahabatan serta kem latihan secara lebih kerap di Eropah, selain cuba beraksi pada Liga Pro Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) yang menghimpunkan pasukan terbaik dunia bukanlah keutamaan ketika ini.

Beliau sebaliknya merasakan MHC perlu mempunyai perancangan sebaiknya termasuk mengasah bakat jurulatih tempatan berkebolehan sedia ada untuk menyerap segala ilmu pengetahuan daripada mereka untuk diterjemahkan kepada pasukan negara serta berhenti menagih kepakaran luar negara.

"Anda tidak menghantar (pasukan ke Liga Pro FIH) semata-mata untuk penyertaan tanpa persediaan. Jadi, pada masa ini, apa yang MHC perlu lakukan adalah semua pengurusan atasan harus (bertanggungjawab)," katanya.

Semalam, skuad Speedy Tigers menamatkan kempen kelayakan Olimpik di Muscat, Oman di tempat kelima selepas mengatasi Kanada 3-1 menerusi penentuan penalti selepas terikat tanpa jaringan pada perlawanan klasifikasi tempat kelima-keenam.

Skuad kendalian A Arul Selvaraj membuka tirai kempen di Oman dengan langkah kiri apabila tumpas 2-3 kepada China Isnin lepas, kemudian tewas 1-4 dengan Great Britain pada Selasa dan terikat 3-3 menentang Pakistan pada awal pagi Jumaat.

Mereka gagal layak ke Olimpik Paris 2024, yang bakal berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini, selepas menamatkan saingan peringkat Kumpulan A di kedudukan tercorot dengan satu mata, di belakang Great Britain yang muncul juara kumpulan (sembilan mata), Pakistan (4) dan China (3).

Jerman, Great Britain dan New Zealand layak ke Paris 2024 selepas muncul tiga pasukan terbaik di Oman. Kali terakhir Malaysia layak ke Olimpik adalah pada edisi 2000 di Sydney, Australia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2024 @ 10:16 PM