ARUL (tengah) memantau tahap kecederaan tujuh atau lapan pemain utama skuad hoki negara. FOTO ARKIB NSTP
ARUL (tengah) memantau tahap kecederaan tujuh atau lapan pemain utama skuad hoki negara. FOTO ARKIB NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jurulatih skuad hoki lelaki negara, Arul Selvaraj boleh dikatakan pening kepala apabila sekurang-kurang tujuh pemain utama cedera, sekali gus mengganggu persiapan menjelang kempen kelayakan Olimpik di Muscat, Oman bermula 13 sehingga 21 Januari tahun depan.

Arul berkata, barisan kejurulatihan dengan kerjasama Institut Sukan Negara (ISN) dalam usaha mengenalpasti tahap kecederaan pemain terbabit supaya mereka dapat beraksi pada perlawanan penting itu.

Beliau berkata, pihaknya akan mencari pengganti bersesuaian kepada tonggak utama terbabit sekiranya mereka tidak sempat pulih menjelang kempen kelayakan itu.

"Memang ada sedikit kecederaan membabitkan tujuh atau lapan pemain, namun kami sudah berbincang dengan pasukan perubatan dan ISN bagi mengetahui berapa lama tempoh mereka akan pulih.

"Pada masa sama, pemain dan jurulatih sudah mengadakan sesi 'post mortem' bagi memperincikan lagi strategi dan kelemahan sebelum mengharungi perlawanan kelayakan itu," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Skuad hoki lelaki negara akan beraksi pada kempen kelayakan di Muscat, Oman bermula 13 sehingga 21 Januari 2024 dalam usaha menyambar tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) mengumumkan perkara itu selepas berakhir semua kejohanan peringkat benua.

Pada aksi kelayakan itu, Speedy Tigers akan bersaing bersama Britain, Jerman, New Zealand, Pakistan, Kanada, Chile dan China.

Sementara itu, Arul berkata, pihaknya akan mengatur strategi sebaik FIH sudah membahagikan kumpulan pada kempen kelayakan itu.

"Sudah tentu kita mahu layak ke Olimpik Paris 2024 dengan berada di kelompok tiga terbaik, cuma ketika ini tidak boleh komen mengenai kempen berkenaan kerana tidak dibahagikan lagi perlawanan mengikut kumpulan.

"Apa yang boleh saya katakan, kegagalan di Sukan Asia Hangzhou tempoh hari tidak akan diulangi apabila membuat persiapan rapi bagi memastikan layak ke pentas Olimpik Paris 2024," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 4:26 PM