PEMAIN Pakistan cuba menembusi gawang Malaysia. FOTO FIH
PEMAIN Pakistan cuba menembusi gawang Malaysia. FOTO FIH
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Kecewa! Itu sahaja dapat diluahkan pengendali skuad hoki negara, A Arul Selvaraj selepas menyaksikan barisan pemainnya gagal layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 sekali gus gagal menamatkan penantian 24 tahun ke temasya sukan terbesar dunia itu sejak kali terakhir melakukannya pada edisi 2000 di Sydney, Australia.

Ia selepas Speedy Tigers gagal mara ke separuh akhir kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 di Muscat, Oman apabila hanya seri 3-3 dengan Pakistan pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A awal pagi tadi sekali gus menamatkan saingan di kedudukan tercorot dengan satu mata.

Kini empat pasukan yang mara ke separuh akhir iaitu Britain dan Pakistan dari Kumpulan A serta Jerman dan New Zealand dari Kumpulan B, berpeluang meraih tiga tiket ke Olimpik Paris yang ditawarkan pada kempen kelayakan pada kali ini.

Terdahulu, skuad negara mengalami dua kekalahan, iaitu 2-3 di tangan China serta 1-4 kepada Great Britain dan perlu menewaskan Pakistan dengan lebih dua jaringan untuk menempatkan diri dalam kelompok dua terbaik peringkat kumpulan, namun misi itu gagal disempurnakan.

"Kecewa, memang kita kawal permainan dengan banyak, peluang jaringan banyak tetapi tak dapat nak laksanakan. Terlalu banyak peluang untuk jaringkan gol (ketika) lawan China dan Pakistan.

"Kalau peluang sedemikian tak dapat jaringkan, memang susah nak menang perlawanan," katanya ketika dihubungi.

Jelas Arul, beliau masih mempunyai tugas untuk diselesaikan, iaitu dua perlawanan klasifikasi bermula bertemu Chile bagi perlawanan klasifikasi kelima hingga kelapan, hari ini.

"Saya akan balik ke Malaysia dan berbincang dengan Datuk (Ahmad) Najmi Razak (Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan). Tugas saya di sini belum selesai," katanya.

Pada perlawanan hari ini, gol pembukaan Malaysia hadir pada minit ke-20 selepas bola tolakan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi berjaya disambut baik oleh pemain tengah, Mohd Fitri Saari untuknya menyumbat masuk bola di sudut atas sebelah kanan pintu gol lawan.

Bagaimanapun kelebihan jaringan pendahuan tidak bertahan lama apabila selang tiga minit kemudian, Pakistan yang dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti pertama menjaringkan gol penyamaan menerusi Sufyan Khan.

Malaysia kembali dihadapan minit ke-30 apabila dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti pertama dan set piece dirancang berjaya disudahkan oleh Azrai Aizad yang menyambut hantaran daripada Muhammad Marhan Mohd Jalil untuk jaringan kedua.

Tiga minit selepas suku ketiga bermula, Malaysia dikejutkan dengan gol penyamaan Pakistan yang dijaringkan oleh kapten mereka, Ammad Butt untuk kedudukan semasa 2-2.

Skuad negara terus menggandakan asakan bagi menjarakkan kembali kedudukan dan akhirnya Muhammad Firhan Ashari berjaya merobek gol Pakistan dengan melakukan pukulan deras untuk Malaysia kembali dihadapan pada minit ke-41.

Pakistan dilihat terus mengasak kubu pertahanan negara untuk mencari gol penyamaan dan minit ke-52 situasi kelam kabut dalam gawang negara digunakan oleh Waheed Ashraf Rana untuk menjaringkan gol penyamaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2024 @ 4:27 PM