PEMAIN skuad hoki negara (jersi kuning) cuba menghalang asakan pemain Pakistan pada perlawanan yang berkesudahan seri 3-3, sekali gus Malaysia gagal layak ke Olimpik Paris 2024. FOTO FIH
PEMAIN skuad hoki negara (jersi kuning) cuba menghalang asakan pemain Pakistan pada perlawanan yang berkesudahan seri 3-3, sekali gus Malaysia gagal layak ke Olimpik Paris 2024. FOTO FIH
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Episod duka terpaksa ditelan sekali lagi skuad hoki lelaki negara apabila terus kempunan untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024, sekali gus gagal menamatkan penantian 24 tahun ke temasya sukan terbesar dunia itu sejak kali terakhir melakukannya pada edisi 2000 di Sydney, Australia.

Ia selepas Speedy Tigers bimbingan A Arul Selvaraj gagal mara ke separuh akhir kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 di Muscat, Oman apabila hanya seri 3-3 dengan Pakistan pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A, awal pagi tadi.

Ia menyaksikan mereka sekadar menamatkan saingan di kedudukan tercorot dengan satu mata.

Empat pasukan yang mara ke separuh akhir iaitu Britain dan Pakistan dari Kumpulan A serta Jerman dan New Zealand dari Kumpulan B yang berpeluang meraih tiga tiket ke Olimpik Paris yang ditawarkan pada kempen kelayakan pada kali ini.

Terdahulu, skuad negara sudah mengalami dua kekalahan iaitu 2-3 di tangan China serta 1-4 kepada Great Britain dan perlu menewaskan Pakistan dengan lebih dua jaringan untuk menempatkan diri dalam kelompok dua terbaik peringkat kumpulan, namun misi itu gagal disempurnakan.

Pada perlawanan hari ini, gol pembukaan Malaysia hadir pada minit ke-20 selepas bola tolakan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi disambut baik oleh pemain tengah, Mohd Fitri Saari untuknya menyumbat masuk bola di sudut atas sebelah kanan pintu gol lawan.

Bagaimanapun kelebihan jaringan pendahuluan tidak bertahan lama apabila selang tiga minit kemudian, Pakistan yang dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti pertama menjaringkan gol penyamaan menerusi Sufyan Khan.

Malaysia kembali di hadapan minit ke-30 apabila dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti pertama dan set piece yang dirancang berjaya disudahkan Azrai Aizad yang menyambut hantaran daripada Muhammad Marhan Mohd Jalil untuk jaringan kedua.

Tiga minit selepas suku ketiga bermula, Malaysia dikejutkan dengan gol penyamaan Pakistan yang dijaringkan kapten mereka, Ammad Butt untuk kedudukan semasa 2-2.

Skuad negara terus menggandakan asakan bagi menjarakkan kembali kedudukan dan akhirnya Muhammad Firhan Ashari berjaya merobek gawang Pakistan dengan melakukan pukulan deras untuk Malaysia kembali di hadapan pada minit ke-41.

Pakistan terus mengasak kubu pertahanan negara untuk mencari gol penyamaan dan minit ke-52 situasi kelam kabut dalam gawang negara digunakan oleh Waheed Ashraf Rana untuk menjaringkan gol penyamaan.

Malaysia akan meneruskan perjuangan di Oman dengan bertemu Chile bagi perlawanan klasifikasi tempat kelima hingga kelapan, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2024 @ 7:57 AM