MALAYSIA akan beraksi dalam klasifikasi tempat kelima hingga kelapan. FOTO Ihsan Persekutuan Hoki Antarabangsa
MALAYSIA akan beraksi dalam klasifikasi tempat kelima hingga kelapan. FOTO Ihsan Persekutuan Hoki Antarabangsa
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Skuad Speedy Tigers bangkit dari kekecewaan gagal layak ke pentas Olimpik Paris 2024 untuk membelasah Chile 5-0 dalam perlawanan klasifikasi tempat kelima hingga lapan, semalam.

Pengendali skuad hoki lelaki kebangsaan, A Arul Selvaraj berkata, meskipun bermula agak perlahan namun di separuh masa kedua mereka mengubah taktikal dan berjaya mendapatkan jaringan lebih banyak dalam perlawanan itu.

"Kita mencipta banyak peluang dan kita menggunakan peluang itu dengan baik sekali sehingga mendapatkan dua gol padang, dua gol dari pukulan sudut penalti dan 1 penalti stroke. Pemain pun dilihat lebih tenang dan selesa mengawal bola dalam bahagian menyerang hari ini (semalam).

"Kita akan mengkaji pasukan Kanada, mereka juga bukan pasukan sebarangan kerana pemain yang kental dan besar (saiz) serta berkemahiran tinggi. Kita akan turun dengan 'good attitude' untuk keluar bermain dan mencari kemenangan," katanya.

Sementara itu, lima jaringan Malaysia hadir menerusi Razie Abd Rahim pada minit ke-32, Ashran Hamsani (m-34), Marhan Jalil (m-41), Norsyafiq Sumantri (m-48) dan Azrai Aizad Abu Kamal (m-60).

Skuad negara akan membuat perhitungan dengan dengan Kanada pada jam 7.30 malam hari ini untuk penentuan klasifikasi tempat kelima dan keenam.

Terdahulu, skuad kendalian Arul Selvaraj terpaksa menunggu lebih lama untuk menanamatkan penanti beraksi di pentas Olimpik selepas pasukan negara secara rasmi tersingkir dalam perebutan slot kelayakan Olimpik Paris 2024 yang diadakan di Muscat, Oman ketika ini.

Malaysia berada berada di kedudukan terakhir Kumpulan A dengan satu mata dari tiga perlawanan dan akan beraksi dalam klasifikasi tempat kelima hingga kelapan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2024 @ 4:29 PM